Tak Tahu & Hanya Mahu Cepat Antara Alasan Diberikan kerana Memandu Melawan Arus

Tak Tahu & Hanya Mahu Cepat Antara Alasan Diberikan kerana Memandu Melawan Arus

Antara alasan yang diberi oleh pemandu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana memandu melawan arus ialah mereka tak tahu ia satu kesalahan dan hanya mahu cepat. Mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Jalan Bandar Mahkota Cheras pada pagi Isnin.

Operasi selama tiga jam bermula jam 6 pagi itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai pemandu yang memandu secara berbahaya dan melawan arus di kawasan tersebut, lapor Sinar Harian.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan memaklumkan bahawa sebanyak 54 kenderaan telah diperiksa dan 25 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 27 saman P22 dikeluarkan, termasuk 23 saman kerana memandu melawan arus mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 2 saman pula dikeluarkan kerana lesen kenderaan tamat tempoh, dan dua lagi kerana tiada perlindungan insurans,” katanyga dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya lagi, masih ada pemandu yang sanggup ambil risiko nyawa sendiri dan pengguna jalan lain hanya untuk jimatkan masa beberapa minit.

“Ada yang kata mereka tak tahu itu satu kesalahan, walhal perbuatan itu boleh sebabkan kemalangan. JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan jalan raya dan akan terus responsif terhadap aduan orang awam,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa operasi seperti ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.

Orang ramai yang melihat kesalahan trafik boleh buat aduan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau gunakan aplikasi e-Aduan JPJ lengkap dengan maklumat dan lokasi kejadian.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD