NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JPJ Kelantan Rampas 13 Kereta Mewah Bernilai RM5 Juta

JPJ Kelantan Rampas 13 Kereta Mewah Bernilai RM5 Juta

Sebanyak 13 kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM5 juta telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang Operasi Khas Luxury yang dijalankan di seluruh negeri sejak 1 Julai lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi yang memberi tumpuan kepada kenderaan import dan berstatus mewah itu bertujuan memastikan pemilik mematuhi sepenuhnya undang-undang jalan raya.

Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ketiadaan perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1), memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26(1), serta pemalsuan dokumen sebagaimana Seksyen 108 APJ 1987.

“Lebih merisaukan, ada pemilik kereta sanggup menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Malah, terdapat kes kenderaan mewah dipandu warga asing tanpa lesen memandu sah,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Kenderaan yang terlibat termasuk Toyota Vellfire, Toyota Alphard, BMW 523i Limousine, Ford Mustang Fastback, Mercedes E250 CGI, Nissan GTR dan beberapa model lain.

Mohd Misuari turut menegaskan, memiliki kereta mewah bukan tiket untuk mengabaikan undang-undang, malah pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, JPJ Kelantan merekodkan sebanyak 10,233 kes LKM tamat tempoh, 8,432 kes kenderaan tiada insurans, serta 11,004 kesalahan memandu tanpa lesen.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy