Kilang EV Proton di Tanjung Malim Hampir Siap, Pengeluaran Dijangka Bermula September Ini

Kilang EV Proton di Tanjung Malim Hampir Siap, Pengeluaran Dijangka Bermula September Ini

Selepas hanya 6 bulan kerja bermula pada Februari lalu, kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) milik PROTON di Tanjung Malim kini sudah mencapai 90.4% siap, manakala pemasangan peralatan berada pada tahap 83.5%. Secara keseluruhan, kemajuan projek kini mencecah 86.9% dan pengeluaran dijangka bermula September ini.

Kilang pengeluaran ini akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama yang bakal dikeluarkan ialah Proton e.MAS 7, diikuti Proton e.MAS 5 yang kini sedang diperkenalkan kepada orang ramai melalui siri jelajah seluruh negara.

Direka bentuk dengan kebolehan untuk dikembangkan pada masa depan, kapasiti pengeluaran kilang ini bermula dengan 20,000 unit setahun dan mampu ditingkatkan sehingga 45,000 unit bergantung pada permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

Infrastruktur kilang turut dilengkapi sistem digital seperti Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS) untuk memastikan pengeluaran lebih cekap dan berskala.

Salah satu pencapaian penting ialah kejayaan Machine Try Out (MTO), iaitu percubaan pertama menghasilkan rangka kereta di kilang tersebut. Menurut Ketua Kejuruteraan Pembuatan PROTON, Wan Yousry bin Mohamed, percubaan ini memastikan tahap kesiapsiagaan peralatan dan kalibrasi berjalan lancar sebelum operasi bermula sepenuhnya.

Setakat ini, lebih 30 tenaga kerja bukan eksekutif dengan sijil kemahiran dan diploma telah diambil serta menjalani latihan intensif bagi menyokong fasa awal pengeluaran. Jumlah peluang pekerjaan dijangka melebihi 200, khusus dalam bidang perindustrian EV dan perkhidmatan teknikal.

Kilang ini turut menerima sokongan teknikal daripada Geely, termasuk pemilihan peralatan, penyeliaan pemasangan, latihan luar negara untuk kakitangan PROTON serta panduan dalam memastikan standard pengeluaran EV bertaraf global.

“Kilang ini melambangkan transformasi PROTON serta komitmen kami terhadap masa depan lestari dan berteknologi tinggi. Ia juga meletakkan Malaysia pada landasan untuk menjadi peneraju EV di rantau ini. Tidak lama lagi, EV pertama buatan Malaysia akan meluncur keluar dari kilang ini dan memasuki pasaran,” kata Wan Yousry.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD