Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berpendapat keputusan Malaysia untuk berhenti menganjurkan perlumbaan Formula One (F1) suatu ketika dahulu adalah satu kesilapan.
Menurutnya, peluang untuk membawa semula perlumbaan berprestij itu ke Sepang kini sangat tipis kerana kalendar F1 sudah dipenuhi dengan senarai panjang negara yang menunggu giliran.
“Dulu kita lepaskan F1, sekarang amat sukar untuk mendapatkannya kembali. Saya harap kesilapan sama tidak berulang dengan MotoGP,” katanya baru-baru ini.
SIC ketika ini sedang dalam persediaan untuk berbincang mengenai pembaharuan kontrak penganjuran MotoGP bersama Dorna Sports.
Shafriman menjelaskan, kos untuk membawa semula F1 ke Malaysia sangat tinggi. Bayaran yuran perlumbaan sahaja mencecah AS$70 juta (sekitar RM300 juta setahun termasuk kos tambahan penganjuran). Selain itu, terdapat juga kos penyediaan antara RM10 juta hingga RM20 juta bagi setiap penganjuran.
Sepang pernah menjadi tuan rumah F1 dari tahun 1999 hingga 2017, namun acara itu dihentikan kerana kos penganjuran yang semakin meningkat, sambutan penonton yang kurang menggalakkan di Malaysia serta penurunan minat global ketika itu.
Namun sejak diambil alih Liberty Media pada 2017, F1 kembali mendapat perhatian dunia, khususnya selepas kejayaan siri Netflix Drive to Survive pada 2019 serta pengenalan perlumbaan sprint pada 2021 yang melonjakkan popularitinya.
Shafriman berkata, ramai pihak termasuk kerajaan dan sektor korporat berminat untuk mengembalikan F1 ke Sepang, tetapi ia hanya akan berjaya jika semua pihak berganding bahu, seperti mana yang dilakukan Singapura.
“Kalau kita lihat Singapura, semua pihak bekerjasama – kementerian, korporat, hotel – semua memainkan peranan. Begitu juga jika kita mahu bawa balik F1 ke sini,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa Malaysia memerlukan masa untuk meraih pulangan keuntungan sekiranya kembali menganjurkan F1. Sebagai perbandingan, SIC baru-baru ini mendedahkan bahawa MotoGP Malaysia memberikan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 6.3 kali ganda berdasarkan kajian impak ekonomi tahun lalu.
“Untuk MotoGP pun, kita perlukan masa sebelum dapat hasil ROI yang baik. Perkara penting ialah semua pihak berkepentingan perlu bersatu. MotoGP dan F1 bukan acara SIC semata-mata, ia sebenarnya acara kebangsaan,” jelasnya.
Malaysia masih menjadi tuan rumah MotoGP di Sepang dan tahun ini SIC menyasarkan lebih 200,000 penonton hadir sepanjang tiga hari perlumbaan pada 24 hingga 26 Oktober. – New Straits Times
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?