Proton e.MAS 5 Dipertonton – Spesifikasi & Kabin Dalaman, 1 Varian, Jarak 325 km

Proton e.MAS 5 Dipertonton – Spesifikasi & Kabin Dalaman, 1 Varian, Jarak 325 km

Sejak diperkenalkan semasa Malaysia Autoshow 2025, Proton kini tampil berani dengan mendedahkan bahagian dalam Proton e.MAS 5. Sebagai model EV pertama jenama nasional, e.MAS 5 bukan sahaja membawa identiti baharu Proton, malah ia menetapkan penanda aras segar dalam dunia kenderaan elektrik mampu milik di Malaysia.

Dengan dimensi 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar dan 1,580 mm tinggi, Proton e.MAS 5 tampil dengan profil kompak yang sesuai untuk pemanduan harian di bandar mahupun lebuhraya. Ruang kabinnya tetap luas, ditambah dengan kapasiti ruang but belakang sehingga 1,320 liter dan ruang simpanan tambahan 70 liter di bahagian hadapan.

e.MAS 5 dikuasakan oleh motor 11-dalam-1 dengan janaan kuasa sebanyak 114 HP dan 150 Nm tork, dengan pacuan roda belakang (RWD). Pecutan dari 0-50 km/j hanya mengambil masa 3.9 saat, cukup responsif untuk kegunaan bandar.

Baterinya menggunakan LFP dengan kapasiti sebanyak 40.16 kWj dari CATL yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 325 km (WLTP). Untuk pengecasan pantas, hanya 21 minit diperlukan untuk meningkat dari 30% ke 80% menggunakan pengecas DC berkapasiti 71 kW. Pengecasan AC pula disokong pada 6.6 kW.

Sekilas di bahagian luar, Proton masih lagi menyembunyikan rekaan luar dengan balutan stiker penyamaran sempena Jelajah MISI 5 mereka. Namun, jika dilihat ia kelihatan sama seperti Geely Star Wish tetapi dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Proton juga merujuk model ini sebagai sebuah hatchback, bukan SUV.

Masuk ke bahagian dalam, e.MAS 5 menawarkan pengalaman moden dengan skrin infotainmen besar bersaiz 14.6 inci, panel meter digital 8.8 inci, dan sistem operasi ATLAS Auto. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, capaian 4G & Wi-Fi, serta kawalan suara dua zon menjadikan pengalaman pengguna lebih intuitif dan menyeronokkan.

Aplikasi PROTON e.MAS App juga membolehkan pemilik memantau status kenderaan serta mengawal fungsi tertentu secara jauh.

Keselamatan adalah keutamaan e.MAS 5 dengan kehadiran 6 beg udara, sistem ESC, ABS, dan pelbagai ciri ADAS seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning (LDW), Traffic Sign Recognition (TSR), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), kamera 360° dengan paparan 3D dan banyak lagi.

Setakat ini, Proton mendedahkan hanya satu varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Premium. Spesifikasi penuh Proton e.MAS 5 yang lain masih disimpan rapi dan hanya akan diumumkan semasa pelancaran rasminya pada hujung tahun ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD