Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan sindiket antarabangsa yang menyeludup kereta mewah dari Singapura untuk dijual pada harga sehingga 40 peratus lebih murah daripada pasaran.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menjalankan risikan selama sebulan sebelum melancarkan operasi khas di sekitar Johor Bahru pada 18 hingga 24 Mei lalu.
“Hasil operasi, kami berjaya merampas sembilan kereta mewah bernilai RM1.46 juta dipercayai diseludup dari negara jiran dengan jumlah cukai yang cuba dielakkan dianggarkan RM2.75 juta.
“Kenderaan yang dirampas termasuk Porsche Panamera, Mercedes Benz, BMW, Audi A5 dan Jaguar yang berusia lebih lima tahun,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Padang Bongor.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai meletakkan kereta-kereta itu di beberapa kawasan parkir sekitar Johor Bahru sebelum dijual kepada pembeli tempatan dari pelbagai negeri.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini melibatkan rakyat tempatan dan Singapura. Mereka menyasarkan individu yang mahu bergaya dengan kereta mewah pada harga rendah.
“Kereta seludup yang dijual serendah RM10,000 dijadikan umpan utama untuk menarik pembeli yang sanggup mengambil risiko undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata, semua kenderaan tersebut dikategorikan sebagai barang larangan import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi), maksimum 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau penjara hingga lima tahun bagi kesalahan pertama.
“Saya ingin mengingatkan orang awam bahawa pembeli juga boleh dikenakan tindakan undang-undang dan kenderaan akan dirampas,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan, tujuh lagi kereta mewah dipercayai milik sindiket sama sedang dikenal pasti dan akan diumumkan selepas siasatan selesai.
Dalam pada itu, JKDM Kelantan turut merekodkan 958 kes rampasan pelbagai komoditi bernilai RM50.29 juta dengan anggaran cukai RM15.82 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Rampasan terbesar melibatkan dadah bernilai RM21.36 juta, diikuti rokok (RM2.19 juta) dan ayam beku (RM2.11 juta).
“Penyeludupan bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya. – Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?