Pemandu Pikap Dipercayai Mabuk, Rempuh Lima Kenderaan di Lebuh AMJ

Pemandu Pikap Dipercayai Mabuk, Rempuh Lima Kenderaan di Lebuh AMJ

Seorang pemandu pikap dipercayai mabuk hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah–Melaka–Jasin (AMJ), Cheng, awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, enam mangsa cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu datang dari arah Bandar Melaka menuju Cheng sebelum melanggar pembahagi jalan.

“Kenderaan tersebut kemudian terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh lima kenderaan lain iaitu dua BMW, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

“Laporan penuh masih menunggu kerana mangsa sedang dirawat,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video insiden tersebut yang memaparkan pikap terbabit hilang kawalan dari arah bertentangan lalu menghempap kenderaan lain. – Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD