Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membuka laman sesawang khas bermula hari ini bagi memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) memohon Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, inisiatif ini diwujudkan bagi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi perlu menggunakan lesen republik itu atas faktor pekerjaan, khususnya mereka dalam sektor seperti pemandu bas, pekerja operasi dan perkhidmatan sokongan.
“MOT mengambil maklum dan prihatin terhadap maklum balas rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Ramai dalam kalangan mereka terlibat dalam sektor perkhidmatan, jadi kami mahu pastikan mereka juga mendapat akses kepada skim subsidi BUDI95,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau menjelaskan, laman sesawang tersebut boleh diakses melalui www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my, manakala semakan kelayakan permohonan boleh dibuat selepas 14 hari melalui www.budi95.gov.my.
Tambahnya, semua permohonan akan disemak dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian berdasarkan syarat utama seperti status warganegara Malaysia, lesen Singapura yang masih sah, serta permit kerja aktif di republik tersebut.
Anthony turut menegaskan bahawa subsidi BUDI95 hanya terpakai untuk kenderaan berdaftar di Malaysia. Bagi mereka yang sudah tidak bekerja di Singapura, lesen memandu Malaysia boleh dipohon semula selepas membatalkan lesen Singapura mengikut prosedur Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Usaha ini diharap dapat memudahkan urusan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang tambak, agar mereka juga diberi pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan subsidi bahan api negara,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?