AFA PRIME Perketat Kawalan Trafik Sempena Cuti Panjang Deepavali di Lebuhraya KLK & dan LPT1

AFA PRIME Perketat Kawalan Trafik Sempena Cuti Panjang Deepavali di Lebuhraya KLK & dan LPT1

AFA PRIME Berhad, konsesi bagi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) akan melaksanakan langkah keselamatan dan pengurusan trafik yang dipertingkat menjelang cuti panjang Deepavali hujung minggu ini.

Dengan sambutan Deepavali jatuh pada Isnin, 20 Oktober 2025, aliran trafik ke arah timur menuju Pahang dan Pantai Timur dijangka memuncak antara 17 hingga 19 Oktober, manakala trafik pulang ke Kuala Lumpur dijangka meningkat dari 20 hingga 22 Oktober.

Sepanjang tempoh itu, trafik harian di KLK dijangka meningkat 59%, daripada purata 110,000 kepada 175,000 kenderaan sehari, manakala LPT1 dijangka naik 67%, daripada 41,000 kepada 68,300 kenderaan.

Bagi menampung lonjakan jumlah kenderaan, AFA PRIME menambah kekuatan tenaga kerja operasi sebanyak 20.5%, termasuk petugas tol, pasukan rondaan lebuh raya dan anggota kawalan trafik.

Pusat Kawalan Trafik (TCC) pula akan beroperasi 24 jam bagi memantau keadaan trafik, menyelaras tindakan kecemasan serta memberi bantuan segera sekiranya berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan.

Selain itu, unit khas Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV – PDRM) akan ditempatkan di Gombak, Temerloh dan Kuantan bagi memastikan kelancaran trafik serta menyediakan bantuan pengiring jika diperlukan.

Pegawai JPJ turut bersiap sedia di stesen timbang di Gombak, Karak, Temerloh, Maran dan Kuantan untuk membantu respons kecemasan, manakala anggota RELA akan ditempatkan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta hentian sementara bagi membantu pengguna lebuh raya sepanjang masa.

Kemudahan di sepanjang KLK dan LPT1 juga telah dipertingkat untuk memberi keselesaan tambahan kepada pengguna. Beberapa R&R terpilih dilengkapi dengan tandas mudah alih tambahan, ruang parkir lebih luas, serta pasukan pembersihan tambahan bagi menjaga kebersihan sepanjang tempoh sibuk ini.

Semua stesen minyak di sepanjang laluan akan beroperasi 24 jam, sementara kemudahan pengecasan EV GENTARI boleh digunakan di Petronas R&R Gambang bagi arah timur dan barat.

Pengurus Besar dan Ketua AFA PRIME Berhad, Encik Ibrahim Tambi Cik Mohamad, berkata pihaknya komited memastikan perjalanan masyarakat sempena Deepavali berjalan lancar dan selamat.

“Deepavali ialah perayaan cahaya, kebahagiaan dan perpaduan — waktu di mana keluarga berkumpul dan perjalanan pulang membawa makna istimewa. Pasukan kami akan bersiaga sepenuhnya untuk memastikan setiap perjalanan berlangsung dengan selamat dan teratur. Kami menyeru semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhemah dan merancang perjalanan lebih awal supaya semua dapat pulang dengan selamat untuk meraikan perayaan ini,” katanya.

Untuk maklumat trafik terkini dan bantuan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau mengikuti kemas kini masa nyata melalui laman rasmi Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan akaun X @LPTTrafik.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD