NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Ops Lancar Deepavali: 968 Saman Trafik Dikeluarkan, 165 Motosikal Disita, 22 Individu Ditahan

Ops Lancar Deepavali: 968 Saman Trafik Dikeluarkan, 165 Motosikal Disita, 22 Individu Ditahan

Sempena sambutan Hari Deepavali 2025, Polis Johor melaksanakan beberapa siri operasi khas malam ini bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negeri.

Antara tumpuan utama ialah Ops Lancar, yang dijalankan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Tambak Johor, laluan utama keluar masuk antara Malaysia dan Singapura.

Menurut kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad, operasi bersepadu itu melibatkan seramai 1,238 pegawai dan anggota polis dari seluruh kontinjen Johor. Operasi bermula sekitar jam 5 petang dan dijangka selesai pada 5 pagi, dilaksanakan serentak di beberapa lokasi tumpuan.

Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), operasi turut mendapat bantuan daripada pelbagai agensi luar membabitkan 75 pegawai dan anggota daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rela, pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Setakat tengah malam tadi (19 Oktober), sebanyak 968 saman trafik telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menunggang secara berbahaya, tiada lesen memandu dan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Selain itu, 165 motosikal dan 5 kereta turut disita, manakala 22 individu ditahan yang terdiri daripada 15 tangkapan kesalahan trafik dan 7 tangkapan berkaitan dadah.

Pihak Polis Johor menjangkakan jumlah tangkapan dan saman akan terus meningkat sehingga operasi tamat pagi esok (20 Oktober). Laporan penuh hasil pelaksanaan operasi dijangka dikeluarkan oleh Kontinjen Johor pada keesokan harinya. – Sinar Harian

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy