Tiada Lagi Diskaun Saman Bermusim, Kadar Kompaun Diselaras Bermula 1 Januari – Loke

Tiada Lagi Diskaun Saman Bermusim, Kadar Kompaun Diselaras Bermula 1 Januari – Loke

Kerajaan memutuskan untuk menamatkan tawaran diskaun saman melalui program khas atau kempen bermusim, dan menggantikannya dengan prinsip baharu yang dinamakan “Lagi Cepat Bayar, Lagi Murah Bayaran”, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata prinsip baharu itu diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai menyelesaikan saman lebih awal serta memastikan sistem bayaran lebih adil kepada pengguna jalan raya yang bertanggungjawab.

“Sebelum ini, diskaun hanya diberikan ketika kempen khas, dan ini dianggap tidak adil kepada mereka yang membuat bayaran awal. Prinsip baharu ini lebih seimbang — semakin cepat anda bayar, semakin rendah kadar saman,” katanya pada sidang media bersama Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, semalam.

Melalui pelaksanaan sistem baharu ini, kadar pengurangan kompaun akan bergantung kepada tempoh bayaran dibuat seperti berikut:

  • 1 hingga 15 hari: potongan 50%

  • 16 hingga 30 hari: potongan 33%

  • 31 hingga 60 hari: kadar penuh (tiada diskaun)

  • 61 hari ke atas: tindakan mahkamah / senarai hitam

Walau bagaimanapun, kadar pengurangan ini tidak terpakai bagi kesalahan tidak boleh dikompaun, termasuk:

  • memandu tanpa insurans sah,

  • tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM),

  • atau menggunakan LKM palsu.

Sebagai persediaan pelaksanaan rasmi, orang ramai diberi peluang untuk melangsaikan saman tertunggak JPJ dan PDRM dengan diskaun antara 50% hingga 70% bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.

“Selepas tempoh ini, prinsip ‘Lagi Cepat Bayar, Lagi Murah Bayaran’ akan dilaksanakan sepenuhnya, dan tiada lagi potongan diberikan bagi saman yang gagal dijelaskan dalam tempoh 60 hari,” jelas Loke.

Pembayaran boleh dibuat melalui portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM, atau di semua kaunter JPJ, kiosk dan saluran bayaran PDRM.

Anthony Loke turut menjelaskan bahawa sebelum ini wujud perbezaan dalam kadar kompaun dan kaedah penguatkuasaan antara JPJ dan PDRM, yang menimbulkan kekeliruan awam.

Katanya, mesyuarat Kabinet pada 17 Oktober lalu telah bersetuju untuk menyeragamkan kadar kompaun serta kaedah penguatkuasaan bagi memastikan keadilan dan konsistensi dalam pelaksanaan undang-undang jalan raya di seluruh negara.

“Kami mahu masyarakat menanam budaya pemanduan yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Bayar saman lebih awal bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi juga mencerminkan sikap menghormati undang-undang,” katanya. – MalayMail

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD