Dua Maut, Lima Cedera Parah Dalam Pertembungan

Dua Maut, Lima Cedera Parah Dalam Pertembungan

Dua lelaki termasuk seorang warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 18, Jalan Mawai-Kuala Sedili, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar jam 1.15 tengah hari.

Menurutnya, nahas melibatkan sebuah Proton Waja dipandu warga emas berusia 71 tahun dan sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 29 tahun.

“Siasatan awal mendapati Proton Waja berwarna emas yang dipandu warga emas terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV Perodua Alza,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat pertembungan kuat itu, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lima penumpang lain yang menaiki kedua-dua kenderaan turut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan I Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 petang.

“Seramai 11 anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejauh 53 kilometer.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan lima mangsa dalam Proton Waja — tiga kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa cedera, manakala pemandunya yang berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia.

“Dalam Perodua Alza pula, pemandu berusia 28 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang lelaki cedera,” katanya.

Operasi menyelamat selesai sepenuhnya pada jam 2.43 petang.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD