NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Aksi Bahaya Atas Lebuhraya, Lima Remaja Halang Ambulans Ditahan

Aksi Bahaya Atas Lebuhraya, Lima Remaja Halang Ambulans Ditahan

Lima remaja lelaki ditahan polis selepas tular video mereka menunggang motosikal secara berbahaya sambil menghalang laluan ambulans di KM 249 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 3.15 petang pada 19 Oktober lalu ketika ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM) dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan di KM 260.

Menurut beliau, hasil siasatan membawa kepada penahanan lima suspek berusia 17 tahun bersama motosikal masing-masing di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara jam 3 petang hingga 9 malam Isnin.

“Kesemua mereka kini direman selama dua hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

Dalam masa sama, Noor Hisam turut mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab di jalan raya serta menyalurkan maklumat jika ternampak sebarang pelanggaran undang-undang supaya tindakan sewajarnya dapat diambil demi keselamatan semua pengguna.

Sumber: Astro Awani

Azfar Zamri

Azfar Zamri merupakan antara tenaga kreatif meja editorial NAZZ&CO™ Media yang banyak menumpukan kepada pelaporan berita automotif harian. Beliau bertanggungjawab memastikan setiap informasi terkini, siaran media korporat, dan perkembangan landskap permotoran negara disampaikan dengan tepat kepada pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy