SEREMBAN – Tiga lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang anggota bomba di Kilometer 2.6, Jalan Pantai, Port Dickson, pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pemandu Toyota Vios berusia 32 tahun serta dua rakannya yang masing-masing berumur 31 dan 32 tahun.
Dua rakan pemandu berkenaan dipercayai terlibat dalam tindakan menyembunyikan kereta terbabit dan menanggalkan nombor pendaftarannya di Puchong, Selangor, selepas kejadian.
Menurut beliau, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.05 pagi ketika mangsa berusia 46 tahun menunggang motosikal Honda ADV160 dari arah Telok Kemang menuju ke Port Dickson. Kereta Toyota Vios berkenaan dipercayai turut melalui laluan sama.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai melakukan pusingan U. Tindakan tersebut menyebabkan mangsa yang berada di belakang cuba mengelak sebelum motosikalnya melanggar bahagian sisi kanan kereta berkenaan.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa terjatuh di lorong bertentangan dan mengalami kecederaan parah.
Mangsa kemudian dibawa untuk mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Port Dickson, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ahmad Afiq berkata, pemandu Toyota Vios itu tidak berhenti untuk memberikan bantuan, sebaliknya melarikan diri selepas kemalangan berlaku.
Hasil siasatan membawa kepada penahanan pemandu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang kira-kira jam 6.30 petang, manakala dua lagi lelaki ditahan di Puchong.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati pemandu berusia 32 tahun itu tidak memiliki lesen memandu yang sah. Selain itu, cukai jalan dan insurans bagi kereta berkenaan juga telah tamat tempoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek dijadualkan dibuat di Mahkamah Port Dickson pada Selasa bagi membantu siasatan lanjut.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?