Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menemui ketidakpatuhan cukai membabitkan sebuah syarikat yang disyaki ada kaitan dengan kartel kenderaan mewah, termasuk gagal mengisytiharkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan kira-kira RM70 juta.
Dalam kenyataannya, LHDN berkata operasi penguatkuasaan dilakukan semalam di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang termasuk premis perniagaan syarikat, rumah pengarahnya dan sebuah firma audit.
“Operasi ini dijalankan untuk mendapatkan dokumen dan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.
“Siasatan awal menunjukkan syarikat tidak melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan bernilai RM70 juta,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap syarikat, dan perenggan 113(1)(a) terhadap pengarah syarikat.
LHDN berkata tindakan ini selari dengan usaha kerajaan membanteras kartel dan sindiket penyeludupan yang telah lama merugikan hasil negara.
LHDN turut memaklumkan bahawa pelbagai kes lain juga sedang disiasat termasuk lombong emas, scam, penyalahgunaan status penerima bantuan untuk sembunyi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram serta perniagaan milik warga asing yang tidak mengisytiharkan pendapatan.
“Langkah ini menunjukkan komitmen LHDN memastikan semua pihak patuh undang-undang cukai dan mengelak ketirisan hasil negara.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana percubaan mengelak cukai,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, turut mengesahkan operasi tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan berfokus untuk memperkukuh pematuhan cukai terutama dalam sektor transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.
“Ketidakpatuhan membabitkan jumlah besar bukan sahaja menjejaskan hasil negara, tetapi melemahkan keadilan sistem cukai,” katanya. – Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?