TAWAU – Hasrat sepasang tunang untuk membina masa depan bersama berakhir tragedi apabila mereka maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan ngeri di Batu 16, Jalan Apas–Balung, petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun, Mohd Saddam Patah Lajasan, dan tunangnya, Siti Nurfazlia Muslimin, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang datang dari arah Batu 3 Jalan Apas menuju ke Balung dipercayai hilang kawalan selepas tayar hadapan pecah.
“Lori terbabit terbabas ke pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan motosikal bersama pasangan itu diseret sebelum lori berkenaan melanggar bahagian hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki warga emas.
Tambah Jasmin, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati pemandu lori tidak memiliki lesen memandu yang sah dan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.26 petang sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 28 kilometer.
“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu lori lima tan, Toyota Hilux dan sebuah motosikal. Penunggang serta pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.
Beliau berkata, dua individu yang berada di dalam lori tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital bersama pemandu pacuan empat roda untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 6.30 petang selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?