R&R Semakin Sesak, Kapasiti Parkir Jadi Persoalan

R&R Semakin Sesak, Kapasiti Parkir Jadi Persoalan

Tular baru-baru ini satu rakaman video memaparkan kenderaan diparkir di kawasan larangan di Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh sehingga laluan menjadi sempit, mengakibatkan sebuah treler menggesel beberapa buah kereta.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai keupayaan kemudahan R&R menangani lonjakan jumlah kenderaan, khususnya ketika musim perayaan dan cuti panjang. Walaupun sering dikaitkan dengan sikap pengguna, realitinya kekangan kapasiti parkir di R&R semakin ketara saban tahun.

Semasa Aidilfitri 2025, PLUS Malaysia Berhad menganggarkan sehingga 2.2 juta kenderaan sehari memasuki lebuh raya utama pada hari puncak. Jika digabungkan dengan laluan lain seperti West Coast Expressway, KL–Karak, LPT1 dan LPT2, jumlah kenderaan di jalan raya dianggarkan mencecah 2.7 juta sehari.

Peningkatan ini bukan hanya berlaku ketika perayaan, malah turut berlaku pada cuti persekolahan. Dalam keadaan tersebut, R&R yang sepatutnya menjadi lokasi rehat selesa bertukar sesak dengan kenderaan berbaris panjang, termasuk parkir di tepi laluan dan penggunaan petak khas lori oleh kenderaan persendirian.

Situasi ini memaksa sesetengah pemandu, khususnya yang membawa anak kecil atau warga emas, meletakkan kenderaan di lokasi tidak sesuai demi kemudahan sementara. Keadaan itu bukan sahaja mengundang risiko keselamatan, malah menimbulkan ketegangan antara pengguna jalan raya.

Larangan sementara terhadap kenderaan berat ketika musim perayaan membantu mengurangkan risiko, namun ia tidak menyelesaikan punca utama iaitu kekurangan ruang parkir. Walaupun beberapa R&R telah dinaik taraf, kapasiti sedia ada masih gagal menampung jumlah kenderaan ketika waktu puncak.

Hakikatnya, jumlah kenderaan di Malaysia terus meningkat tanpa kawalan berkesan. Ketiadaan dasar pelupusan atau had usia kenderaan menyebabkan kenderaan lama terus berada di jalan raya selagi cukai jalan diperbaharui.

Dalam konteks ini, isu kesesakan di R&R bukan lagi masalah terpencil, sebaliknya mencerminkan cabaran perancangan mobiliti negara. Tanpa pendekatan lebih menyeluruh dari segi dasar dan infrastruktur, situasi sama dijangka terus berulang.

Buat masa ini, disiplin dan sikap bertimbang rasa pengguna menjadi faktor penting. Pemandu disaran mematuhi peraturan parkir serta mengikuti jadual perjalanan yang dicadangkan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD