KOTA BHARU – Yamaha Y15 dan Honda EX5 dikenal pasti sebagai antara motosikal paling kerap diubah suai oleh golongan remaja di daerah ini, khususnya bagi tujuan menonjolkan aksi dan menunggang secara berbahaya di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, perkara itu dikesan hasil Op Samseng Jalanan dan Ops Bersepadu yang dijalankan di persimpangan lampu isyarat Maahad Muhammadi, Jalan Pengkalan Chepa, hujung minggu lalu.
Menurut beliau, lebih separuh daripada motosikal yang disita dalam operasi berkenaan terdiri daripada model Yamaha Y15 dan Honda EX5, dengan kebanyakan penunggang berusia antara 14 hingga 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan diubah suai secara tidak dibenarkan, khususnya pada bahagian ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, semalam.
Tambah Mohd Azmir, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Bharu, Asisten Superintendan Boon Chun Yee itu menyaksikan sebanyak 210 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Beliau berkata, polis turut menyita 44 buah motosikal yang didapati telah diubah suai secara keterlaluan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Dalam satu kes, seorang remaja dikenakan 18 saman berjumlah RM2,700 atas pelbagai kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran tidak mematuhi peraturan, ekzos diubah suai serta pengubahsuaian sistem penyerap hentakan,” jelasnya.
Menurut beliau, semakan mendapati remaja terbabit mempunyai rekod saman sebelum ini namun masih mengulangi kesalahan sama.
Mohd Azmir turut memaklumkan bahawa pihaknya sering menerima aduan orang awam berkaitan aktiviti berlumba dan bunyi bising motosikal, khususnya di sekitar kawasan masjid dan penempatan penduduk.
“Kebanyakan penunggang yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu dan masih berdegil walaupun pernah dikenakan tindakan sebelum ini,” katanya.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?