NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kejatuhan Nilai Rupiah dan Baht Beri Tamparan Kepada Pelancongan Domestik

Kejatuhan Nilai Rupiah dan Baht Beri Tamparan Kepada Pelancongan Domestik

KUALA LUMPUR –  Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengesahkan bahawa penurunan nilai mata wang rupiah dan baht pada masa ini sedang memberikan impak terhadap trend perjalanan pelancong dari Malaysia.

Presiden MATA, Datuk Seri Mohd Khalid Harun menjelaskan, oleh sebab mata wang negara jiran kini lebih rendah berbanding ringgit, ramai penduduk Malaysia menganggap situasi ini sebagai satu kesempatan untuk melancong dengan perbelanjaan yang lebih kecil terutamanya ke Indonesia dan Thailand.

“Secara umumnya, memang terdapat peningkatan minat dan tempahan kedua-dua destinasi ini terutama bagi pakej jangka pendek seperti hujung minggu, cuti sekolah dan percutian keluarga.

“Destinasi seperti Bangkok, Hatyai, Phuket, Bali, Bandung dan Jakarta terus menjadi pilihan kerana kos penginapan, makanan, membeli-belah dan pengangkutan menjadi lebih murah apabila ditukar kepada ringgit.

“Dari segi anggaran, jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand dan Indonesia dijangka terus meningkat tahun ini,”

“Berdasarkan trend sebelum ini, Thailand menerima jutaan pelancong Malaysia setiap tahun manakala Indonesia khususnya Bali dan Bandung juga menunjukkan peningkatan konsisten daripada pasaran Malaysia,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Khalid mengulas lanjut, dengan keadaan nilai mata wang di kedua-dua negara jiran tersebut yang semakin menyusut, berkemungkinan akan berlaku kenaikan tambahan sebanyak 10 hingga 20 peratus bagi jumlah pelancongan keluar dari Malaysia ke Indonesia serta Thailand, khususnya pada musim promosi dan cuti awam.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa daya tarikan ke arah Indonesia dan Thailand tersebut bukan hanya disebabkan oleh faktor penyusutan mata wang semata-mata.

Menurut beliau, antara penyebab lain rakyat Malaysia memilih ke Indonesia dan Thailand adalah kerana tawaran tambang penerbangan yang lebih kompetitif, akses perjalanan tanpa visa serta urusan imigresen yang lebih ringkas, selain persamaan budaya dan makanan yang sinonim dengan citarasa Malaysia.

“Faktor lain ialah trend media sosial yang mempromosikan destinasi ‘viral’ (tular) dan ‘healing tourism’ (pelancongan kesejahteraan), peningkatan pakej membeli-belah dan ‘wellness tourism’ seperti spa, urutan dan rawatan kesihatan pada harga lebih murah serta jarak perjalanan yang dekat dan sesuai untuk percutian singkat,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa keadaan ini sedang memberikan saingan yang sengit kepada industri pelancongan domestik di Malaysia.

“Jika terlalu ramai rakyat Malaysia memilih bercuti di luar negara kerana faktor kos lebih murah, industri pelancongan tempatan perlu tampil lebih kompetitif dari segi harga, promosi dan nilai pengalaman supaya rakyat terus memilih destinasi dalam negara.

“Apa yang penting, fenomena ini menunjukkan pelancong hari ini semakin sensitif kepada nilai wang dan mencari destinasi yang memberi ‘value for money’ (berbaloi dengan harga) terbaik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD