NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Letupan Tong Gas Belon Udara Ragut Satu Nyawa, Tiga Cedera

Letupan Tong Gas Belon Udara Ragut Satu Nyawa, Tiga Cedera

Hari kedua perniagaan di tapak ekspo Dataran Jam Besar, Sungai Petani bertukar menjadi sebuah tragedi berdarah apabila satu insiden letupan tong gas mengorbankan seorang peniaga dan mencederakan tiga yang lain pada Khamis.

Impak letupan kuat tersebut turut dirasai oleh mangsa yang berada pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian, sehingga menyebabkan suasana menjadi kecoh dan gelap seketika akibat bekalan lampu terputus.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Azmi Ahmad, 42, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada serta putus tangan kanan.

Tong gas yang meletup itu dipercayai digunakan untuk mengisi belon udara kanak-kanak di ekspo berkenaan.

Salah seorang mangsa yang cedera, Khairul Shakirin Saad, 36, menceritakan detik cemas ketika dia bersama rakannya sedang berbincang dengan pihak penganjur sebelum letupan kuat itu berlaku secara tiba-tiba.

“Masa kejadian, saya dan seorang lagi kawan tengah bincang dengan penganjur, secara tiba-tiba terdengar letupan kuat membuatkan semua yang ada di situ tergamam. Gelap sebab lampu terpadam seketika…pinggang rasa sakit, perut senak dan terjatuh,” kongsi beliau mengenai detik cemas tersebut.

Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan dan mereman dua lelaki berusia 18 dan 38 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki sedang menguruskan bahan yang menjadi punca kepada insiden tragis berkenaan.

“Mereka dikatakan sedang membancuh bahan kimia dipercayai mempunyai kaitan dengan letupan dan perniagaan belon udara kanak-kanak,” jelas beliau.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian, manakala tapak ekspo yang sepatutnya berlangsung sehingga 26 Mei ini kini diselubungi suasana duka.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD