NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tiga Mangsa Nahas Di Lebuhraya Karak Disahkan Pelajar UIAM

Tiga Mangsa Nahas Di Lebuhraya Karak Disahkan Pelajar UIAM

Hasrat empat sekawan untuk pulang ke kampus berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila tiga daripadanya disahkan maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Karak, awal pagi tadi.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian merupakan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, iaitu Adli Hakim Akberdin, 24, Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, 26.

Manakala seorang lagi rakan mereka, Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan kritikal di Zon Merah Hospital Selayang.

Insiden hiba yang berlaku kira-kira jam 2.15 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang dinaiki oleh kesemua mangsa.

Mereka difahamkan dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands menuju ke kampus UIAM di Gombak sebelum kenderaan tersebut dilaporkan hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kereta berkenaan gagal dikawal lalu merempuh bahagian belakang sebuah treler yang sedang bergerak di laluan yang sama.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang, manakala seorang lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang,” jelas beliau ketika mengesahkan butiran insiden tragis berkenaan.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta kerjasama daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberikan keterangan.

Kes kemalangan jalan raya ini diklasifikasikan di bawah kes kecuaian pemanduan yang menyebabkan kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Faizal Mohd di talian 019-2696097 atau Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di talian 03-61262222”, tambah beliau.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD