NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pengguna Pengangkutan Udara Digesa Pantau Jadual Penerbangan Sempena Cuti Sekolah

Pengguna Pengangkutan Udara Digesa Pantau Jadual Penerbangan Sempena Cuti Sekolah

SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberikan peringatan kepada para penumpang udara supaya sentiasa menyemak info terbaharu mengenai jadual penerbangan mereka sepanjang tempoh cuti persekolahan akan datang yang bermula dari 23 Mei hingga 7 Jun nanti.

Menurut CAAM, selain faktor musim cuti, perkara ini perlu diberi perhatian ekoran situasi global semasa yang memberikan kesan terhadap operasi syarikat penerbangan serta jadual perjalanan di sebahagian wilayah buat masa ini.

Jelasnya, memandangkan jumlah trafik penumpang dijangka meningkat di seluruh lapangan terbang negara, orang ramai disarankan mengambil tindakan awal termasuk hadir lebih awal ke lapangan terbang bagi mengelakkan isu teknikal operasi dan kesesakan luar jangka.

“Pengguna diminta memeriksa status penerbangan terkini secara berkala dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang.”

“Pastikan butiran hubungan yang diberikan semasa tempahan adalah terkini dan boleh dihubungi, juga menyimpan semua dokumen perjalanan dan tempahan untuk tujuan rujukan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu lalu.

Mengulas dengan lebih mendalam, CAAM turut memperincikan hak-hak penumpang di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) jika berdepan situasi kelewatan, pembatalan, halangan menaiki pesawat, pindaan jadual, atau masalah melibatkan bagasi.

Jelas pihak berkuasa itu, penumpang mempunyai pilihan untuk meneruskan kembara mereka dengan sokongan daripada pihak syarikat penerbangan, merangkumi penyediaan hotel dan pengangkutan sekiranya keadaan memerlukan.

“Bagi pembatalan penerbangan, penafian menaiki pesawat, pertukaran jadual selama tiga jam ke atas dan penghentian laluan, pengguna mungkin berhak untuk memilih penukaran laluan atau pemulangan wang penuh,”

“Bagi pembatalan sukarela, pengguna berhak mendapatkan pemulangan wang bagi Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), cukai, fi, surcaj bahan api dan caj kawal selia, tertakluk kepada terma dan syarat tiket berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, CAAM menyarankan agar para penumpang cuba mendapatkan jalan penyelesaian secara terus dengan syarikat penerbangan atau pihak pengendali lapangan terbang terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, CAAM memaklumkan bahawa sekiranya masalah tersebut masih tidak dapat diselesaikan, laporan boleh dibuat melalui portal FlySmart CAAM untuk tindakan dan bantuan susulan.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi sebarang insiden bagasi yang tertunda, mengalami kerosakan, atau hilang, penumpang hendaklah segera membuat aduan dengan melengkapkan Laporan Ketidakaturan Harta (PIR) di lapangan terbang serta menyimpan setiap dokumen penting bagi memudahkan urusan tuntutan.

“Pengguna boleh dapatkan maklumat terkini dan sahih hanya melalui saluran rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkuasa yang berkaitan. Serta membiasakan diri dengan hak pengguna dan prosedur aduan melalui platform FlySmart di www.flysmart.my,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD