NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Lebuhraya WCE Diramal Catat Lonjakan Trafik Sehingga Ahad Ini

Lebuhraya WCE Diramal Catat Lonjakan Trafik Sehingga Ahad Ini

Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka merekodkan peningkatan jumlah kenderaan bermula esok hingga Ahad, dengan anggaran melebihi 160,000 kenderaan sehari menggunakan laluan berkenaan.

Peningkatan ini susulan berakhirnya Sambutan Tahun Baharu Cina, tamatnya cuti persekolahan serta ketibaan awal Ramadan. Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Strategik & Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid, memaklumkan jumlah trafik harian berpotensi melangkaui 160,000 kenderaan, khususnya melibatkan laluan menghala ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Kesesakan dijangka lebih ketara dari pertengahan petang hingga lewat malam.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya disarankan membuat perancangan awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat.

Dalam masa sama, orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi WCE App untuk mendapatkan maklumat trafik secara masa nyata, akses paparan CCTV secara langsung serta perkembangan terkini berkaitan lebuh raya. Pengguna juga dinasihatkan agar memulakan perjalanan lebih awal pada waktu pagi sekiranya berkesempatan bagi mengelakkan waktu puncak pada sebelah petang dan malam.

Selain itu, pemandu diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, termasuk memeriksa paras minyak, sistem brek, keadaan tayar dan enjin.

Bagi pemilik kenderaan elektrik (EV), kemudahan pengecasan berkapasiti tinggi disediakan di jajaran Perak iaitu di Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Taiping Selatan, manakala di jajaran Selangor pula terletak di Plaza Tol SAE dan Plaza Tol Assam Jawa.

Pengguna jalan raya turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi had laju, memakai tali pinggang keledar, mengekalkan fokus ketika memandu serta mengelakkan pemanduan dalam keadaan mengantuk. Penunggang motosikal pula perlu lebih berwaspada dan berhati-hati sepanjang perjalanan.

Beliau turut menegaskan bahawa lorong kecemasan bukanlah lorong khas untuk motosikal, sebaliknya dikhaskan sepenuhnya bagi tujuan kecemasan seperti pengurusan insiden, kenderaan rosak dan situasi tidak dijangka. Penyalahgunaan lorong tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan ketika menggunakan WCE, pengguna boleh menghubungi Talian Infoline WCE di 1700-81-6600 bagi mendapatkan bantuan segera.

Sumber: BULETINTV3

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD