SHAH ALAM – Susulan kejadian pokok tumbang yang menyebabkan dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) cedera minggu lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenal pasti 15 pokok di Persiaran Tun Arshad Ayub sebagai berisiko tinggi.
Pokok-pokok tersebut yang dianggarkan berusia sekitar 30 tahun dikenal pasti selepas pemeriksaan dijalankan oleh pihak MBSA bersama pakar arboris yang dilantik bagi membuat penilaian menyeluruh di kawasan berkenaan.
Pengarah Landskap MBSA, Majidah Md Ali berkata, tindakan segera telah diambil termasuk kerja-kerja pemangkasan bagi mengurangkan beban dahan dan seterusnya menurunkan risiko tumbang.
“Setakat ini, 15 pokok didapati berisiko dan kita telah lakukan pangkasan sebagai langkah pencegahan. Selain itu, terdapat 264 pokok teduhan lain yang turut dinilai untuk menentukan sama ada perlu dipangkas atau ditebang,” katanya.
Beliau menjelaskan, laporan penuh penilaian bagi keseluruhan jajaran jalan tersebut telah disiapkan, dan keputusan lanjut akan dibuat berdasarkan dapatan teknikal.
Mengulas spekulasi bahawa faktor struktur tanah menjadi punca kejadian, Majidah berkata siasatan lanjut masih diperlukan termasuk semakan bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
“Hasil pemerhatian awal mendapati akar pokok yang tumbang berada dalam keadaan reput serta kawasan tersebut mempunyai kandungan air yang tinggi. Namun, siasatan terperinci masih dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Bandar Shah Alam yang baharu, Datuk Zabidah Safar menegaskan komitmennya untuk memberi tumpuan kepada isu-isu utama di bawah seliaan MBSA termasuk pengurusan sampah, banjir dan keadaan jalan raya.
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan kepada perkara yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga Shah Alam terus terpelihara.
Sumber: BULETINTV3
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?