NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Puding Karamel KA Satukan Rakyat Malaysia

Puding Karamel KA Satukan Rakyat Malaysia

Siapa sangka, video masakan puding karamel KA berdurasi 60 saat mampu mencetuskan fenomena nasional yang menyatukan jutaan rakyat tanpa mengira usia, agama, mahupun latar belakang?

Itulah magis yang dibawa oleh pempengaruh terkenal, Khairul Aming (KA) menerusi resipi puding karamel dalam siri tahunan ’30 Hari 30 Resipi’ tahun ini. Bukan sekadar meraih 22 juta tontonan, video tersebut mencetuskan “demam” luar biasa apabila ribuan pengguna media sosial berlumba-lumba berkongsi detik mendebarkan, momen mengetuk loyang untuk melihat hasil puding mereka bersama keluarga tersayang.

“Hadiah Bermakna” Buat Khairul Aming

Melihat gelagat pengikutnya, KA memuat naik sebuah video kompilasi yang menyentuh hati. Sambil menitiskan air mata, beliau mengakui keakraban yang ditunjukkan oleh pengikutnya bersama keluarga menjadi pengubat rindu terhadap arwah bapanya.

“Sembilan tahun lepas, I was alone dalam rumah sewa, buat video masak yang tak tahu ada orang tengok ke tak,” luah KA dalam kapsyennya. Beliau menambah, melihat kegembiraan orang ramai memasak bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat bermakna buat dirinya. “Saya dah tak boleh cipta momen ni dengan arwah ayah, tapi bila tengok korang happy masak dengan family, that means the world to me.”

Layak Digelar Ikon Perpaduan Negara?

Impak positif yang dibawa oleh graduan kejuruteraan ini membuatkan ramai pihak, termasuk tokoh aktivis, berpendapat beliau layak diangkat sebagai Ikon Perpaduan Negara. Keupayaannya menyatukan rakyat menerusi kandungan yang bersih daripada kontroversi atau sentimen negatif adalah sesuatu yang jarang berlaku di media sosial.

Pakar sosial, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran turut memuji pendekatan inklusif KA. “Inilah contoh yang perlu diikuti oleh semua pempengaruh. Untuk menjadi popular, tidak perlu ‘create controversial’ atau cipta kandungan yang bercanggah dengan nilai masyarakat,” katanya.

Bagi peminat setia, puding karamel ini bukan lagi sekadar pencuci mulut, tetapi simbol kasih sayang dan ukhwah yang terjalin manis di dapur setiap rumah rakyat Malaysia.

Sumber: Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD