KUALA LUMPUR – “Papa Zola The Movie” mencatat sejarah apabila filem animasi tempatan terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw itu muncul sebagai filem Malaysia paling berjaya di Indonesia selepas meraih 515,000 penonton sepanjang 35 hari tayangan di negara berkenaan.
Menurut kenyataan Monsta, pencapaian itu turut meletakkan filem berkenaan dalam kelompok tiga filem dengan kutipan tertinggi di Indonesia pada awal tahun ini, sekali gus menjadi satu kejayaan signifikan buat industri perfileman Malaysia di pasaran serantau.
“Sambutan luar biasa di Indonesia membuktikan kekuatan jalan cerita yang mantap serta daya tarikan sejagat yang merentas sempadan budaya dan bahasa,” menurut kenyataan itu.
Monsta memaklumkan, kejayaan di Indonesia melengkapkan pencapaian terdahulu filem itu di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan jumlah kutipan keseluruhan setakat ini melebihi RM69 juta, mencerminkan sokongan berterusan penonton di Asia Tenggara.
Sebagai sebahagian daripada strategi perluasan pasaran global, filem arahan Nizam Razak itu dijadual ditayangkan di Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir April ini, diikuti Korea Selatan dan Turkiye pada Mei serta Vietnam dan India pada Jun.
Bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa, pasukan produksi turut menyediakan versi alih suara dalam beberapa bahasa utama termasuk Inggeris, Korea, Arab, Hindi, Turki dan Vietnam.
Selain terjemahan, elemen dialog, humor dan rujukan budaya turut disesuaikan mengikut cita rasa setiap pasaran.
Dengan perancangan tayangan di Timur Tengah dan Asia Timur, filem itu dijangka mengekalkan momentum antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri animasi global. – Bernama
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?