Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan bahawa jalan raya awam yang dibina di atas tanah milik kerajaan tidak akan dijual atau dipindah milik kepada pihak swasta, khususnya melibatkan jalan utama yang disifatkan sebagai aset strategik negara dan kemudahan penting kepada rakyat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penglibatan syarikat swasta hanya dibenarkan dalam aspek pengurusan atau penyelenggaraan melalui perjanjian konsesi, tanpa menjejaskan hak milik kerajaan ke atas tanah serta statusnya sebagai jalan awam.
Menurut beliau, sebarang cadangan penutupan, pelupusan atau pertukaran status jalan perlu melalui proses pewartaan dan mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828).
“Proses ini melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan, kelulusan pihak berkuasa negeri serta keperluan menyediakan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sekiranya ia membabitkan akses awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) berhubung sama ada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan membenarkan jalan raya di atas tanah kerajaan dijual atau diserahkan kepada pihak swasta.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata sebarang perubahan laluan jalan awam yang melibatkan tanah kerajaan tertakluk kepada kuasa dan kelulusan pihak berkuasa negeri, khususnya berkaitan pengurusan, pewartaan dan pelupusan tanah termasuk tanah simpanan jalan di bawah Kanun Tanah Negara.
Katanya, kerajaan mengguna pakai mekanisme penilaian berlapis sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk semakan status tanah, penilaian teknikal oleh JKR dan pihak berkuasa tempatan dari segi keselamatan, kapasiti serta kebolehcapaian jalan.
“Kelulusan hanya akan diberikan selepas pihak berkuasa negeri berpuas hati dan syarat penyediaan laluan alternatif yang setara atau lebih baik dipenuhi,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?