Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kenderaan mewah dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM4.45 juta termasuk duti dan cukai.
Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Bahagian Pengkastaman dan Cukai Dalam Negeri), Dr Ishak Ismail berkata, sebanyak 14 kenderaan termasuk enam motosikal berkuasa tinggi dirampas menerusi Operasi Terma yang dijalankan antara 2 hingga 10 Februari lalu.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur serta Johor Bahru.
“Hasil operasi, pasukan berjaya merampas 14 kenderaan dan motosikal yang dipercayai tidak berkastam dan dibawa masuk dari Singapura.
“Antara kenderaan yang dirampas ialah Aston Martin, Maserati, Jaguar XJ, Mercedes-Benz A180 dan Toyota GT 86. Turut disita motosikal berkuasa tinggi seperti Triumph Daytona 675R, Kawasaki KTM serta Kawasaki KLX-DRZ 110,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau memaklumkan nilai rampasan kenderaan dianggarkan RM1.54 juta, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM2,905,980, menjadikan keseluruhan nilai mencecah RM4.45 juta.
Ishak berkata, sindiket dipercayai menyimpan kenderaan seludup di parkir kondominium, pangsapuri dan kawasan perumahan sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Kenderaan dibawa masuk melalui laluan sah dengan mematuhi syarat ditetapkan, malah ada pemandu yang menyamar sebagai pelancong bagi mengelak dikesan,” katanya.
Tambah beliau, kenderaan mewah itu menyasarkan golongan muda dengan tawaran harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran semasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000, mana-mana yang lebih tinggi, atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?