Seorang remaja maut dirempuh pemandu Ford Ranger manakala rakannya cedera di Tanah Merah awal pagi tadi. Sebuah Ford Ranger dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dinaiki dua remaja terlibat kemalangan di Jalan Ismail Petra, kira-kira jam 1.45 pagi.
Muhammad Fahmi Yusri, 17 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, manakala rakannya mengalami kecederaan serius.
Kronologi Kejadian: Ford Ranger Masuki Laluan Bertentangan
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang datang dari arah bandar Tanah Merah cuba memotong kenderaan lain di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Pemandu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dua remaja terbabit dan berada di laluan yang sah. Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memotong secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan,” kata Mohd Haki.
Rakan Mangsa Parah, Kini Menerima Rawatan
Pembonceng motosikal, Muhammad Hafiz Osnie, 17 tahun, turut mengalami kecederaan serius di bahagian tangan, kaki kanan, pinggang serta muka akibat perlanggaran tersebut. Beliau kini sedang menerima rawatan di hospital selepas diselamatkan di lokasi kejadian.
Pemandu Ford Ranger Dipercayai Melarikan Diri
Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit masih belum berjaya dikenal pasti dan dipercayai telah melarikan diri dari lokasi kejadian selepas merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua remaja tersebut.
Mayat Muhammad Fahmi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat. Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang Ramai Diminta Tampil Bantu Siasatan
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber : Buletin TV3
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?