KOTA KINABALU: Sebuah kedai kopi di Pusat Komersial Bornion, Damai, di sini, mengalami kerosakan selepas sebuah Perodua Kancil merempuh premis berkenaan dalam kejadian awal pagi Selasa.
Kejadian kira-kira 6.30 pagi itu turut menyebabkan dua individu mengalami kecederaan, manakala kerosakan dan barangan yang musnah mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM2,500.
Menurut pemandu Kancil berusia 46 tahun itu, dia tidak menarik brek tangan sebelum kenderaan berkenaan secara tiba-tiba bergerak laju dan merempuh kedai tersebut.
Rempuhan itu berlaku ketika premis berkenaan sudah dipenuhi pelanggan.
Seorang wanita berusia 50 tahun yang ketika itu berada di laluan pejalan kaki untuk membeli kuih turut menjadi mangsa apabila dia terhimpit pada barangan jualan selepas kenderaan berkenaan tiba-tiba memecut.
Wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Seorang pelanggan lelaki yang sedang duduk di bahagian tengah kedai turut mengalami kecederaan pada tulang kering.
Menurut seorang pekerja kedai kopi, kira-kira lima meja dipenuhi pelanggan ketika kejadian.
Bagaimanapun, pelanggan yang berada di bahagian tepi kedai tidak mengalami kecederaan.
Kesan rempuhan bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada struktur premis, malah serpihan kaca turut bertaburan di dalam kedai.
Hampir 200 keping tauhu dilaporkan rosak, manakala kuih yang dijual turut musnah selepas terjatuh dan dipenuhi serpihan kaca.
Kedai berkenaan juga menjual sayur-sayuran dan stok untuk kira-kira seminggu turut terjejas akibat kejadian itu.
Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi RM2,500.
Pemilik kedai, Yong, 31, kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Difahamkan, Yong bersama ibunya meninggalkan rumah kira-kira 6.30 pagi untuk ke kedai sebelum menyedari kejadian selepas tiba di premis.
Sarjan Trafik Kota Kinabalu, Danny, turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan.
Apa yang menarik perhatian, kejadian kenderaan terbabas atau tersalah kawalan sehingga merempuh premis di Sabah dilaporkan bukan berlaku sekali.
Ia merupakan kejadian ketiga seumpama itu dalam tempoh tiga bulan.
Pada 30 September, seorang lelaki berusia 60 tahun dilaporkan hilang kawalan terhadap Perodua Myvi ketika berada di Lorong Bintang Shophouse 8, Batu 3, Jalan Apas, sekitar 3.30 petang.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu berkenaan secara tidak sengaja menekan pedal minyak ketika cuba keluar dari petak parkir.
Kenderaan itu kemudiannya meluncur ke hadapan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran.
Sebelum itu, satu lagi kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 9 Ogos.
Seorang wanita berusia 66 tahun dilaporkan secara tidak sengaja menekan pedal minyak ketika cuba bertukar tempat duduk dengan anak lelakinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain, wanita terbabit berhenti di lorong kedua di luar bangunan terminal kira-kira 4.55 petang bagi membolehkan anak lelakinya mengambil alih pemanduan.
Ketika cuba keluar dari kenderaan, SUV berkenaan mula bergerak perlahan kerana ia tidak berada dalam mod ‘park’.
Dalam keadaan panik, wanita itu secara tidak sengaja menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan.
SUV berkenaan kemudian merempuh sebuah kenderaan lain sebelum terbabas, memecahkan pintu kaca dewan berlepas lapangan terbang dan akhirnya berhenti selepas melanggar tiang konkrit bangunan.
Mujur, tiada orang awam berada di hadapan kenderaan dalam kedua-dua kejadian berkenaan.
Rentetan beberapa kejadian ini juga menjadi peringatan bahawa kesilapan ketika mengendalikan pedal minyak, terutama ketika keluar dari petak parkir atau menukar kedudukan pemandu, boleh menyebabkan kenderaan bergerak secara tidak dijangka dalam sekelip mata.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?