NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

10 Kereta Terbakar Dalam Kebakaran Parkir Bawah Tanah JB City Square

10 Kereta Terbakar Dalam Kebakaran Parkir Bawah Tanah JB City Square

JOHOR BAHRU – Sebanyak 10 kenderaan terjejas dalam kebakaran yang berlaku di kawasan parkir Basement 2, Johor Bahru City Square (JBCC) petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, lapan daripada kenderaan terbabit dilaporkan mengalami kemusnahan antara 80 hingga 90 peratus, manakala dua lagi rosak sekitar 20 hingga 30 peratus.

Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Jamal berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kira-kira enam minit selepas menerima maklumat.

Menurutnya, pemeriksaan sebaik pasukan bomba sampai mendapati kebakaran berlaku di kawasan parkir bawah tanah pusat beli-belah berkenaan.

“Setibanya PKO di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan bangunan pusat beli-belah di tingkat bawah tanah dua.

“Pemeriksaan mendapati kira-kira 10 kenderaan berada di kawasan terbabit telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tiga Wanita Sesak Nafas

Kejadian tersebut turut menyebabkan tiga wanita mengalami sesak nafas.

Ketiga-tiga mangsa masing-masing berusia 35, 48 dan 57 tahun, dengan seorang daripada mereka merupakan wanita warga Singapura.

Sebelum ini, seorang wanita warga Singapura dilaporkan antara tiga mangsa yang mengalami masalah pernafasan selepas sebuah kenderaan terbakar di kawasan parkir berkenaan.

Seorang wanita tempatan turut dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

40 Anggota Bomba Terlibat

Bagi operasi pemadaman, bomba menggunakan dua aliran air sepanjang 300 kaki daripada sistem pencegah kebakaran yang tersedia di bangunan tersebut, selain menggunakan pam daripada jentera bomba.

Operasi berkenaan membabitkan kira-kira 40 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, BBP Tebrau, BBP Kempas serta Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin.

Setakat laporan tersebut, pihak bomba mengesahkan 10 kenderaan terjejas dalam kejadian itu, dengan tahap kemusnahan berbeza antara satu sama lain.

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy