NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Harga Minyak Melambung Selepas Iran Nafi Rundingan Tamat Perang Dengan AS

Harga Minyak Melambung Selepas Iran Nafi Rundingan Tamat Perang Dengan AS

Harga minyak dunia kembali mencatatkan kenaikan mendadak hari ini selepas pihak Iran menafikan sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Teluk.

Pagi ini, harga minyak mentah dunia jenis Brent (yang jadi rujukan harga global) melonjak naik sebanyak 2.9 peratus kepada kira-kira AS$102.83 setong. Manakala minyak mentah dari Amerika Syarikat, iaitu WTI, turut mencatatkan kenaikan kepada AS$90.62 setong.

Kenaikan mendadak ini berlaku kerana pelabur di seluruh dunia mula bimbang bekalan minyak akan berkurangan selepas Iran menafikan adanya rundingan damai. Situasi ini mencetuskan semula spekulasi bahawa kos tenaga akan terus mahal selagi konflik di Selat Hormuz tidak selesai.

Selat Hormuz Masih Berisiko Tinggi

Walaupun AS menangguhkan serangan ke atas loji janakuasa Iran selama lima hari, pakar penganalisis pasaran memberi amaran bahawa ‘premium perang’ masih menghantui harga minyak.

Selat Hormuz, yang merupakan laluan bagi satu perlima bekalan minyak dunia, masih belum dianggap selamat sepenuhnya untuk aktiviti penghantaran gas dan petrol.

Pihak Pengawal Revolusi Iran menyifatkan kenyataan Trump mengenai rundingan damai tersebut hanyalah sebuah ‘operasi psikologi’ untuk memanipulasi pasaran kewangan.

Malah, serangan terbaharu ke atas infrastruktur gas di bandar Isfahan dan Khorramshahr membuktikan ketegangan fizikal di lokasi masih lagi marak.

“Peniaga sedar bahawa walaupun peluru berpandu ditangguhkan, Selat Hormuz masih belum kembali sebagai laluan yang selamat,” kata Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer.

Ramalan Harga Mencecah AS$150 Setong

Beberapa firma penganalisis seperti Macquarie meramalkan harga Brent berpotensi mencecah sehingga AS$150 setong jika penutupan Selat Hormuz berlarutan sehingga akhir April.

Buat masa ini, AS cuba melonggarkan sekatan minyak Russia dan Iran secara sementara bagi mengurangkan tekanan bekalan di pasaran antarabangsa.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) juga dilaporkan sedang berbincang dengan kerajaan di Asia dan Eropah mengenai kemungkinan melepaskan rizab minyak strategik tambahan sekiranya keadaan mendesak.

Namun, pakar menjangkakan gangguan pasaran ini akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga bulan depan, sekaligus memberi impak besar kepada kadar inflasi ekonomi global.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD