KUALA LUMPUR – Sektor penerbangan bukan hanya sekadar menghubungkan pergerakan penumpang dari satu lokasi ke lokasi lain, malah ia berfungsi sebagai pemacu utama industri pelancongan, perdagangan, peluang kerjaya serta penyumbang bermakna kepada aliran pertukaran mata wang asing negara.
Setiap kehadiran pelancong luar ke Malaysia memberikan impak berganda kepada pertumbuhan ekonomi domestik dengan sektor perhotelan, restoran, logistik pengangkutan dan peruncitan berkembang secara serentak.
Pada masa yang sama, pengangkutan udara menjadi tunjang utama bagi aktiviti perdagangan bernilai tinggi serta kelangsungan rantaian bekalan di peringkat global.
Bagaimanapun, pergolakan di Asia Barat terutamanya konflik ketenteraan melibatkan Iran telah mengubah landskap industri penerbangan dunia apabila sekatan ruang udara, laluan penerbangan yang semakin jauh serta peningkatan kos operasi mula memberikan tekanan hebat kepada industri.
Pengasas kepada firma penasihat penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, menyifatkan pergolakan semasa sebagai satu cabaran besar yang mengganggu struktur sistem pengangkutan udara.
“Industri penerbangan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia waktu ini menghadapi tekanan yang amat berat dan berterusan akibat krisis bahan minyak jet yang telah tercetus akibat peperangan di Iran.
Jadi pada waktu ini saya boleh tafsirkan bahawa struktur penerbangan di Malaysia dan juga di rantau ini boleh dikatakan retak ataupun fractured disebabkan harga minyak yang sangat-sangers mahal menyebabkan keadaan yang tidak seimbang di pasaran,” katanya.
Menurut penjelasan beliau, kadar harga bagi minyak mentah yang pada asalnya berada sekitar skala AS$60 hingga AS$70 setong telah melonjak secara mendadak selepas krisis berkenaan bermula.
“Sebelum 28 Februari lebih kurang AS$60-AS$70 setong, namun apabila peperangan tercetus di Iran maka dengan serta-merta harga itu melonjak lebih daripada AS$80-AS$90.
“Untuk hari pertama, hari kedua dan terus melambung lagi dengan berterusan di mana kita lihat sekarang ini harga minyak mentah lebih kurang AS$107, AS$108 malah mencecah AS$110 setong… dan ini minyak mentah… jadi yang digunakan oleh syarikat-syarikat penerbangan ialah jet fuel ataupun minyak bahan api jet,” tambahnya.
Beliau juga menerangkan bahawa perbezaan nilai harga antara minyak mentah dan bahan api pesawat kini menunjukkan peningkatan yang besar berbanding tempoh sebelum konflik tercetus.
“Krisis ini telah menunjukkan crack spread itu telah lebih meluas.
“Dan sekarang ini, hingga 100 peratus. Hampir 100 peratus, ataupun lebih. Ia sangat volatile, dia setiap hari berubah.
“Jadi, kita ambil secara aggregate, ia lebih 100 peratus. Lebih dua kali ganda,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Datuk Izham Ismail, menerusi ulasan beliau yang disiarkan oleh The Edge menegaskan bahawa sektor penerbangan bukan sekadar sebuah industri perniagaan komersial komersial malah ia merupakan komponen infrastruktur strategik buat negara.
Mengikut pandangan beliau, sektor tersebut berperanan menghubungkan Malaysia dengan sistem ekonomi dunia selain menjamin kelancaran aliran perdagangan, rantaian bekalan serta mobilisasi modal terus beroperasi.
Oleh yang demikian, impak tekanan kos yang sedang dialami oleh industri penerbangan tidak boleh dianggap sebagai sebuah isu pengurusan operasi dalaman semata-mata kerana kesannya berupaya melangkaui sempadan lapangan terbang dan berisiko menjejaskan kebolehsaingan pelancongan, menaikkan kos perdagangan global serta mengurangkan tahap keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi domestik.
Di tengah-tengah situasi ketidaktentuan global yang masih berpanjangan ini, persoalan asas yang mula timbul adalah pihak manakah yang sepatutnya menanggung bebanan unjuran kos ini serta apakah bentuk pilihan dasar konkrit yang realistik bagi memastikan Malaysia kekal terhubung, berdaya tahan dan berdaya saing, katanya.
Sumber: Astro AWANI
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?