BANGKOK: Thailand menyasarkan pembinaan fasa pertama projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan negara itu dengan China dapat disiapkan menjelang tahun 2030.
Fasa pertama projek tersebut melibatkan laluan sepanjang 250 kilometer dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima, sebelum diteruskan ke Nong Khai yang terletak berhampiran sempadan Laos.
Menurut kerajaan Thailand, laluan berkenaan merupakan sebahagian daripada projek rangkaian rel berkelajuan tinggi yang dipelopori China, menghubungkan Kunming di barat daya China sehingga ke Singapura dengan jarak keseluruhan kira-kira 3,900 kilometer.
Dalam perkembangan sama, Thailand turut bersedia memulakan pembinaan fasa kedua yang akan menghubungkan Nakhon Ratchasima ke Nong Khai.
Apabila siap kelak, laluan itu akan disambungkan dengan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Laos yang sudah beroperasi antara Vientiane dan Kunming, sekali gus memperkukuhkan jaringan pengangkutan darat di rantau Asia Tenggara.
Selain projek rel berkelajuan tinggi, Thailand juga meneruskan pembangunan rangkaian kereta api konvensional yang bakal menghubungkan Laos di bahagian utara dengan Malaysia di bahagian selatan.
Perkembangan itu diumumkan selepas Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menamatkan lawatan rasmi selama lima hari ke China bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Sepanjang lawatan tersebut, Thailand turut meminta China meningkatkan import produk pertanian termasuk buah-buahan dan makanan diproses memandangkan negara itu merupakan antara pasaran eksport terbesar Thailand.
Kedua-dua negara juga mencapai persetujuan untuk memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hal ehwal luar, pertahanan, pembangunan tenaga kerja serta perkongsian risikan bagi membanteras jenayah kewangan dan penipuan dalam talian.
Thailand sebelum ini turut mengambil bahagian dalam usaha serantau bagi menangani kegiatan pusat penipuan dalam talian yang dipercayai beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara seperti Myanmar dan Kemboja.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?