Sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan parkir lapangan terbang selama hampir empat tahun kini berdepan bil parkir yang mencecah lebih RM22,000.
Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Radin Inten II, Lampung, Indonesia, melibatkan sebuah Suzuki Swift berwarna hitam.
Menurut laporan Detik, kenderaan tersebut mula memasuki kawasan parkir pada 15 Jun 2022 dan tidak pernah dikeluarkan sehingga kini.
Disebabkan terlalu lama tersadai, jumlah bayaran parkir kereta berkenaan kini dikatakan mencecah sekitar 100 juta rupiah, bersamaan kira-kira RM22,813.
Ketua Polis Daerah Natar, AKP Setio Budi Howo berkata, pihak polis bersama pengurusan parkir telah cuba mengesan pemilik kenderaan tersebut, namun usaha berkenaan tidak membuahkan hasil.
“Suzuki Swift itu masuk ke kawasan parkir pada 15 Jun 2022 dan tidak pernah keluar sehingga sekarang,” katanya.
Hasil siasatan mendapati kenderaan tersebut sebenarnya telah dijual kepada seorang individu di Tulang Bawang.
Pemilik asal pula dipercayai menetap di Pahoman, Bandar Lampung.
Bagaimanapun, usaha untuk mengesan pemilik baharu kenderaan itu menjadi sukar apabila pemilik terdahulu tidak lagi menyimpan nombor telefon pembeli.
“Usaha untuk mengesan pemilik baharu gagal kerana pemilik terdahulu tidak menyimpan nombor telefon pembeli,” jelas Setio.
Disebabkan kereta tersebut terlalu lama memenuhi ruang parkir, pihak pengurusan lapangan terbang akhirnya memindahkannya ke bahagian belakang kawasan berkenaan.
Tindakan itu dilakukan bagi memastikan kapasiti tempat letak kenderaan tidak terus terjejas.
Kini, persoalan yang masih belum terjawab ialah siapakah pemilik sebenar Suzuki Swift tersebut dan adakah mereka akan tampil untuk mengambilnya semula.
Namun, satu perkara yang pasti — kalau pemiliknya benar-benar mahu mendapatkan semula kereta itu, bil parkir sahaja sudah cukup untuk membuatkan ramai orang berfikir dua kali.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?