Pengguna global perlu bersedia berdepan kenaikan harga barangan dari China termasuk permainan kanak-kanak dan peralatan perubatan susulan konflik bersenjata di Asia Barat.
Pengeksport China dilaporkan mula menyemak semula harga jualan mereka selepas kos bahan api dan logistik meningkat mendadak akibat peperangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel, dan Iran.
Kenaikan harga minyak mentah telah menyebabkan kos bahan mentah berasaskan petroleum seperti plastik, poliester, dan akrilik melonjak sehingga 50 peratus dalam tempoh seminggu. Situasi ini memaksa kilang-kilang di China untuk memindahkan beban kos tersebut kepada pembeli luar negara bagi mengelakkan kerugian besar.
Beberapa pengurus jualan di Shanghai dan Guangzhou kini giat menghubungi pelanggan antarabangsa, terutamanya dari AS, untuk menggalakkan mereka membuat tempahan segera sebelum harga baharu dilaksanakan.
Syarikat peralatan perubatan misalnya, merancang menaikkan harga sebanyak enam peratus mulai minggu depan bagi menampung kenaikan kos input yang tidak lagi mampu diserap.
“Kenaikan kos memaksa kami untuk menaikkan harga. Ini kali pertama sepanjang kerjaya saya, namun ia adalah langkah terakhir kerana kami sedar risiko pelanggan beralih kepada pesaing,” kata Pang Ling, seorang pengurus jualan peralatan perubatan di Shanghai.
Selain bahan mentah, sektor logistik turut terjejas teruk dengan kadar tambang kapal meningkat antara 30 hingga 50 peratus bergantung kepada laluan perdagangan.
Kenaikan mendadak ini adalah yang paling ketara sejak perang bermula, sekaligus menjejaskan perancangan pengeluaran jangka panjang bagi syarikat yang bergantung kepada eksport.
Pengeksport pakaian yang menjual produk ke Eropah dan AS melalui platform seperti Amazon dan Shein juga mula menaikkan harga bagi pasaran tertentu. Meskipun buat masa ini syarikat masih mampu menyerap sebahagian kos, kebimbangan tetap ada jika konflik tersebut berlarutan bagi tempoh yang lama.
“Buat masa ini kami masih mampu menyerap sebahagian kenaikan kos, tetapi keadaan itu tidak akan kekal jika perang berpanjangan dan menjejaskan lebih banyak produk,” jelas Huang Lun, pengurus jualan syarikat pakaian di Guangzhou.
Pakar ekonomi memberi amaran bahawa jika ketegangan di Iran tidak menunjukkan tanda akan reda, rantaian bekalan global akan terus terganggu dan menyebabkan inflasi barangan keperluan meningkat di seluruh dunia.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?