NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Isyarat Trump Kabur, Pasaran Global Terus Tertekan!

Isyarat Trump Kabur, Pasaran Global Terus Tertekan!

Pasaran global kini berada dalam keadaan “pening” dan tidak menentu ekoran kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dianggap tidak konsisten.

Ahli ekonomi memberi amaran bahawa tanpa isyarat yang jelas dan jujur daripada Trump, kestabilan harga minyak dunia sukar dicapai, sekaligus memberi ancaman besar kepada kos sara hidup di Malaysia.

Walaupun Trump sebelum ini mengumumkan penangguhan serangan ke atas Iran selama lima hari, pakar menyifatkan ia hanyalah langkah sementara atau gimik untuk meredakan keadaan sekejap, bukannya penyelesaian sebenar kepada konflik peperangan tersebut.

Harga Minyak “Yo-Yo”, Rakyat Malaysia Bakal Terkesan

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, mendedahkan bahawa harga minyak mentah Brent kini tidak menentu, sekejap jatuh di bawah AS$100, kemudian melonjak semula. Situasi “Yo-Yo” ini berlaku kerana pelabur hilang kepercayaan apabila Trump mendakwa ada rundingan damai, tetapi pihak Iran pula menafikannya sekeras-kerasnya.

“Penangguhan serangan itu lebih kepada langkah sementara untuk kawal kerosakan, bukannya tanda perang nak tamat. Kesannya pada penurunan harga minyak pun tak kekal lama, tak sampai sehari pun,” jelas Mohd Sedek.

Subsidi Kerajaan Bakal Melambung, Inflasi Mengintai

Jika ketegangan ini kembali memuncak selepas tempoh lima hari tersebut, Malaysia bakal berdepan cabaran besar. Sebagai negara yang bergantung kepada laluan bekalan global, kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos import barang meningkat mendadak.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula menambah, walaupun kerajaan cuba melindungi pengguna dengan menyerap kenaikan harga, kos subsidi minyak negara boleh melambung tinggi dalam tempoh singkat. Ini bermakna, jika harga minyak terus kekal mahal untuk bulan kedua atau ketiga, tekanan kos itu akhirnya akan dilepaskan kepada pengguna, menyebabkan kenaikan harga barang keperluan.

Rantaian Bekalan “Goyang”, Kos Logistik Naik

Bukan hanya minyak petrol, sektor lain seperti baja, petrokimia, dan elektronik juga dijangka terkesan. Gangguan di Selat Hormuz bukan sahaja menyekat bekalan bahan api, malah meningkatkan kos insurans dan pengangkutan kapal di rantau ASEAN termasuk Malaysia.

“Rantaian bekalan global sangat sensitif kepada kejutan harga minyak. Walaupun kesannya nampak boleh diuruskan sekarang, ia akan jadi sangat serius kalau konflik ini berlarutan lebih lama,” kata Prof Emeritus Dr Barjoyai, Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Kesimpulannya, selagi Trump dan Iran tidak mempunyai hala tuju yang selaras, pelabur akan terus berhati-hati dan rakyat Malaysia perlu bersedia berdepan dengan kemungkinan kenaikan kos sara hidup yang lebih mencabar dalam masa terdekat.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD