KUALA LUMPUR – Trend rawatan alternatif terapi ‘tidur enam saat’ yang tular di media sosial mencetuskan kebimbangan serius berikutan risiko tinggi mampu meragut nyawa akibat kaedah menyekat bekalan oksigen ke otak secara sengaja.
Pakar Jantung, Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim berkata, pemerhatian beliau terhadap video tular mendapati pengamal bertindak menekan salur darah arteri karotid di pangkal tengkuk pelanggan sehingga menyebabkan aliran darah dan bekalan oksigen ke otak terputus sepenuhnya.
Pengarah Institut Kecemerlangan Penyelidikan dan Kemajuan Kardiovaskular (CARE Institute) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menjelaskan bahawa tindakan berbahaya tersebut menyebabkan otak mengalami fasa ‘lemas’ sehingga mangsa memasuki peringkat hipoksia dan seterusnya mencetuskan serangan sawan.
“Jadi, pesakit yang dilihat menggeletar dengan mata tertumpu ke atas sebelum ‘terjaga’ sebenarnya bukan sedang tidur sebaliknya mereka mengalami sawan,” katanya.
Dr Sazzli, bekas Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM berkata, tekanan secara paksa pada saluran darah tersebut bukan sahaja mengakibatkan denyutan nadi merosot ke tahap membimbangkan, malah berupaya menyebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba buat seketika.
“Keadaan ini amat kritikal terutamanya bagi individu yang mempunyai masalah jantung yang tidak didiagnosis atau tidak disedari… secara teorinya, jantung mungkin akan reset dan pesakit akan sedar semula… tetapi ini adalah perkara yang sangat bahaya.
“Sekiranya jantung mereka menggeletar dan gagal berdegup kembali, pesakit boleh mati kerana mereka tidak boleh diresusitasi dengan mudah, risiko untuk meninggal dunia adalah sehingga 50 peratus,” katanya.
Berhubung dakwaan kononnya kaedah ini mampu merawat stres, hipertensi, dan insomnia, Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Aryati Ahmad menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang bukti saintifik atau kajian klinikal yang mengesahkan amalan tersebut berkesan untuk kesembuhan sebarang penyakit.
Beliau sehubungan itu menggesa masyarakat agar hanya mendapatkan khidmat perubatan daripada pengamal bertauliah yang berdaftar secara sah di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) demi mengelakkan komplikasi buruk.
“Sebaik-baiknya, jangan mudah terperdaya dengan sebarang kaedah rawatan yang tular di media sosial, rujuklah kepada sumber dan kepakaran yang betul,” katanya.
Selain itu, KKM dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa kaedah terapi tidur enam saat ini sama sekali tidak diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 serta merupakan amalan yang sangat berisiko.
“Amalan ini tidak selamat, tidak disokong bukti saintifik dan wajar dielakkan demi keselamatan orang awam… berdasarkan penilaian klinikal dan perspektif perubatan berasaskan bukti, tindakan ini bukanlah suatu intervensi terapeutik atau rawatan kesihatan yang sah.
“Ia juga melanggar prinsip teras penjagaan termasuk tidak memudaratkan dan persetujuan termaklum memandangkan pesakit terperdaya untuk mempercayai ini adalah ‘tidur’ dan memanipulasi kepercayaan orang ramai terhadap penjagaan kesihatan yang selamat dan berkesan,” menurut KKM.
KKM turut memberi amaran bahawa implikasi perubatan lain bagi individu yang menjalani terapi tidur enam saat ini termasuklah risiko strok, kecederaan arteri karotid, gangguan irama jantung (aritmia), hipoksia serebrum, serta kerosakan otak kekal.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?