RANTAU PANJANG — Tindakan berani tiga warga Thailand yang cuba menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi ke negara jiran berakhir dengan kegagalan selepas mereka ditahan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, dua lelaki dan seorang wanita warga asing tersebut dikesan cuba melepasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang melalui Ops Tiris yang sedang diperketatkan di kawasan sempadan.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek menggunakan taktik memandu kenderaan jenis Proton Waja secara berasingan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum pemeriksaan rapi menemui puluhan liter petrol yang disembunyikan di dalam kenderaan masing-masing.
Lelaki pertama berusia 53 tahun ditahan bersama 50 liter petrol, manakala lelaki kedua berusia 56 tahun membawa muatan lebih besar iaitu 60 liter petrol.
Sementara itu, suspek wanita berusia 35 tahun turut dicekup bersama baki 50 liter petrol, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah RM15,619.20.
Berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek mengaku bahawa bekalan bahan api tersebut dibeli di Malaysia untuk dibawa pulang dan dijual semula di Thailand bagi mendapatkan keuntungan mudah.
Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta yang sama kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk menyeleweng.
Tangkapan ini juga selaras dengan pengumuman Kerajaan MADANI yang baru-baru ini memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung ketirisan subsidi petrol dan diesel, termasuk larangan keras jualan kepada kenderaan pendaftaran asing serta pemantauan rapi di pintu masuk negara.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?