Sebanyak tujuh buah kapal tangki milik syarikat Malaysia, termasuk aset utama di bawah Petronas dan Sapura Energy, kini dilaporkan sedang berada dalam fasa menunggu isyarat selamat untuk meneruskan pelayaran melalui Selat Hormuz.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan bahawa situasi ini berpunca daripada ketegangan keselamatan yang memuncak di rantau Asia Barat, namun beliau menegaskan bahawa aset-aset negara tersebut sama sekali tidak ditahan oleh mana-mana pihak.
Langkah berhenti sementara ini diambil bagi memastikan pergerakan kapal dilakukan pada waktu yang paling tepat demi menjamin keselamatan kru dan kargo yang dibawa.
Menurut Mohamad, Kerajaan Iran telah memberikan maklum balas yang positif terhadap permohonan Malaysia untuk membenarkan kapal-kapal ini melintasi zon tersebut tanpa sebarang gangguan.
Walaupun lampu hijau telah diberikan oleh pihak Tehran, cabaran utama yang dihadapi ketika ini adalah faktor kesesakan trafik maritim dan kekangan komunikasi di lapangan.
Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi konflik, arahan rasmi kadangkala mengalami kelewatan untuk sampai ke petugas di perairan Selat Hormuz.
“Saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawat dan mereka memaklumkan tiada isu untuk kapal kita meneruskan perjalanan namun kapal tangki perlu tunggu giliran,” jelas beliau kepada pemberita.
Beliau turut menambah bahawa pemantauan rapi perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang salah faham di tengah-tengah lautan yang sedang bergolak.
“Jadi kita nak betul-betul pastikan semuanya selamat sampai kerana Selat Hormuz amat tegang, dengan banyak kapal nak keluar. Jika komunikasi kalau tak dibuat dengan baik, akan menyebabkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya lagi.
Selain pemantauan aset laut, Kementerian Luar juga sedang memantau rapat keadaan rakyat Malaysia yang berada di Iran. Walaupun sistem komunikasi di sana dilaporkan terhad akibat gangguan konflik, keselamatan mereka terus menjadi keutamaan kerajaan.
Dalam pada itu, bagi rakyat yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah, Mohamad memaklumkan bahawa ruang udara Arab Saudi masih dibuka untuk penerbangan biasa.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan menangguhkan perjalanan jika tiada keperluan mendesak sehingga keadaan kembali stabil.
“Jika boleh tangguh, elok ditangguhkan dalam keadaan tidak menentu ini tetapi jika persiapan telah dibuat, itu terpulang kerana penerbangan masih beroperasi seperti biasa,” ulas beliau mengenai situasi perjalanan ke tanah suci.
Sumber: Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?