Dunia penyiaran tanah air kehilangan sebutir bintang apabila wartawan penyiaran tersohor, Datuk Karam Singh Walia, dilaporkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi tadi di kediamannya.
Berita sedih itu disahkan oleh adiknya, Jasbant Singh, yang merupakan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.
Mendiang yang dilahirkan pada tahun 1959 di Teluk Intan, Perak, menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun selepas sekian lama bergelut dengan masalah kesihatan sejak bersara pada 2014.
Karam Singh memulakan kerjayanya di TV3 pada tahun 1995 dan sepanjang hampir dua dekad berkhidmat, beliau telah membina reputasi luar biasa sebagai pejuang alam sekitar.
Ketegasan beliau dalam melaporkan isu pencemaran sungai, pembuangan sampah haram, dan penebangan hutan telah melayakkan beliau memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia MPI selama empat tahun berturut-turut bermula 2004 hingga 2007.
Rakan sejawat menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar buat industri kewartawanan negara.
Penolong Editor Berita dan Ehwal Semasa TV3, Juliana Sharin, yang pernah bekerja bersama dalam pasukan ‘Aduan Rakyat’, mengimbau kembali ketegasan mendiang dalam memperjuangkan kebenaran bagi pihak masyarakat dan alam sekitar.
“Suaranya tegas memperjuangkan kebenaran, namun hari ini, suara itu telah pergi. Karam Singh Walia bukan sekadar wartawan. Beliau ialah suara rakyat dan alam kerana dia tidak hanya melaporkan berita, tetapi mengubah cara kita melihat dunia,” kata Juliana Sharin.
Walaupun telah bersara lebih sedekad lalu, pendekatan berani dan laporan konsisten mendiang tetap menjadi inspirasi kepada generasi wartawan muda.
Beliau dikenali bukan sahaja kerana fakta yang tepat, malah gaya penyampaian unik yang sering diselitkan dengan peribahasa serta kiasan yang menusuk kalbu.
Mendiang juga merupakan salah seorang rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih HAWANA pada Jun 2024 sebagai menghargai jasa dan sumbangan besarnya kepada negara.
Pemergian tokoh ikonik ini meninggalkan lompang besar dalam kewartawanan berimpak tinggi, namun legasi perjuangan alam sekitar yang ditinggalkannya akan terus dikenang buat selama-lamanya.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?