Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua buah bot tunda dari Indonesia yang dikesan menceroboh perairan negara tanpa kebenaran semalam.
Penahanan tersebut dilakukan hasil rondaan intensif di bawah pelbagai operasi termasuk Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut bagi mengekang aktiviti haram di zon maritim Malaysia.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, mengesahkan bahawa bot pertama ditahan oleh Bot Petir 11 pada jam 12.30 tengah hari di kedudukan 16.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.
Manakala bot kedua pula berjaya dipintas oleh Bot Petir 12 pada jam 6.50 petang di kedudukan 3.1 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop.
Siasatan awal mendapati kedua-dua bot tunda berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran yang sah daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memasuki atau beroperasi di perairan negara.
Tindakan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Kedua-dua bot tunda itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memasuki atau beroperasi di perairan Malaysia seperti dikehendaki bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak Maritim Malaysia menegaskan bahawa perintah penahanan awal telah dikeluarkan dan kes kini diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.
Kepten Maritim Kama Azri turut memberi amaran keras bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara.
“Rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan demi menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara. Semua aktiviti laut akan dipantau rapi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya lagi.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut digesa untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?