Sindiket Rokok Filipina Sasar Malaysia, Potensi Kerugian Cecah RM100 Juta

Sindiket Rokok Filipina Sasar Malaysia, Potensi Kerugian Cecah RM100 Juta

Sebuah operasi pengeluaran rokok haram berskala industri yang menyasarkan Malaysia sebagai pasaran utama berjaya dibongkar oleh pihak berkuasa Filipina di Lapu-Lapu City, Cebu.

Serbuan yang pada mulanya dianggap sebagai operasi biasa itu mendedahkan sebuah fasiliti canggih yang dipercayai menjadi nadi kepada rangkaian penyeludupan rokok rentas sempadan yang sangat teratur.

Dalam serbuan tersebut, pihak Philippine National Police (PNP) merampas kira-kira 26.79 juta batang rokok siap bersama ribuan bahan mentah dan mesin pengeluaran berkapasiti tinggi.

Apa yang membimbangkan penyiasat ialah penemuan lebih 10 juta setem cukai palsu yang menyerupai setem eksais Malaysia.

Dengan kadar duti eksais Malaysia sebanyak 42 sen sebatang, pendedahan hasil negara akibat aktiviti ini dianggarkan mampu mencecah sehingga RM100 juta.

Kaitan Dengan Entiti Malaysia

Siasatan awal mendapati sebahagian besar produk yang dirampas mempunyai label dan penandaan yang menyerupai produk untuk pasaran Malaysia.

Malah, terdapat bungkusan yang dikaitkan dengan sebuah entiti pengimport Malaysia yang kini berada dalam radar pemantauan pasaran.

Walaupun belum ada pengesahan undang-undang rasmi, kewujudan penandaan ini menimbulkan syak wasalam bahawa identiti perdagangan sah mungkin telah disalah guna oleh sindiket yang digelar sebagai “Malaysian Corporate Mafia”.

Data Laporan NielsenIQ 2025

Berdasarkan Laporan NielsenIQ Illicit Cigarette Study (ICS) 2025, rokok tidak sah masih memegang penguasaan pasaran yang besar di Malaysia iaitu sebanyak 54.5 peratus.

Situasi di Sabah dan Sarawak kekal kritikal dengan kadar rokok seludup masing-masing mencecah 77.3 peratus dan 78.8 peratus.

Laporan itu turut memberi amaran mengenai peningkatan penggunaan setem cukai palsu sebanyak 1.7 mata peratusan di peringkat nasional, terutamanya di negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang, dan Kelantan.

Kerjasama Antarabangsa

Kejayaan operasi di Cebu ini merupakan hasil kerjasama erat melalui perkongsian maklumat risikan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kepada pihak berkuasa Filipina.

Rangkaian ini dikesan beroperasi melalui pelbagai entiti korporat yang sering bertukar nama bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun mengekalkan sistem logistik yang sangat sofistikated.

Pihak berkuasa kedua-dua negara kini sedang menjalankan analisis forensik terhadap mesin dan aliran kewangan sindiket tersebut.

Penutupan kilang di Cebu ini dianggap sebagai satu kemenangan penting, namun penyiasat percaya ia hanyalah sebahagian kecil daripada rangkaian bekalan yang jauh lebih besar di Asia Tenggara.

Pelaksanaan sistem “track-and-trace” oleh kerajaan Malaysia kini dilihat sebagai instrumen penting bagi mengekang penembusan produk haram ini ke saluran runcit tempatan.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD