Pihak berkuasa berjaya membongkar kegiatan penyimpanan bahan api secara haram di Malaysia-China Kuantan Industrial Park apabila sebuah premis diserbu menerusi operasi bersepadu Op Tiris 4.0.
Serbuan yang dilakukan pada jam 12.30 tengah hari itu dijalankan oleh sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang hasil daripada risikan yang giat dijalankan sehari sebelumnya.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin, mengesahkan sebanyak 59,000 liter diesel telah disita daripada lima tangki skid serta sebuah lori tangki industri yang berada di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati premis tersebut menggunakan diesel berkenaan bagi tujuan operasi loji.
Walau bagaimanapun, pihak pengurusan gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit khas yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan bahan api tersebut yang melebihi had 20 liter.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika disabitkan kesalahan, syarikat yang terlibat boleh berdepan denda sehingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Bagi pesalah individu pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Op Tiris merupakan satu operasi berskala besar di seluruh negara yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan barang bersubsidi.
Ia turut merangkumi penguatkuasaan darat oleh KPDN, penguatkuasaan maritim oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, serta kawalan sempadan oleh pihak polis.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?