NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Murid 8 Tahun Maut Dilanggar Van Di Hadapan Sekolah

Murid 8 Tahun Maut Dilanggar Van Di Hadapan Sekolah

Seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati van tersebut berada di dalam kawasan sekolah untuk menghantar barang dan sedang bergerak keluar menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.

“Ketika van itu bergerak keluar, berlaku perlanggaran dengan mangsa yang ketika itu berada di bahagian pejalan kaki. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemandu van yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Jenazah kanak-kanak tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa pada jam 9 malam.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta memastikan bantuan kebajikan diuruskan dengan sewajarnya.

Datuk mangsa, Tugiran Loso, 67, ketika ditemui melahirkan rasa sedih dan menyifatkan lambaian cucunya pada jam 7 pagi sebelum ke sekolah sebagai kenangan terakhir mereka bersama.

Sumber: Astro Awani

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy