NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Jun Dan Julai Dijangka Jadi Tempoh Paling Kritikal Krisis Bekalan Malaysia

Jun Dan Julai Dijangka Jadi Tempoh Paling Kritikal Krisis Bekalan Malaysia

Krisis gangguan rantaian bekalan global dijangka menjadi lebih parah menjelang Jun dan Julai ini apabila simpanan stok lama bahan mentah bagi kebanyakan perniagaan mula kehabisan, sekali gus memberi tekanan hebat kepada operasi industri dan pasaran domestik.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, mendedahkan bahawa situasi semasa berada pada tahap membimbangkan.

Walaupun pasaran alternatif wujud, proses penghantaran bekalan baharu sukar tiba tepat pada waktunya untuk menampung permintaan sektor pembuatan.

“Banyak perniagaan ketika ini masih bergantung kepada stok lama yang sedia ada. Namun menjelang pertengahan tahun, stok itu dijangka habis digunakan sedangkan bekalan baharu masih belum tiba,” katanya dalam satu temu bual audio siar bersama BFM.

Menurut beliau, krisis ekonomi ini bergerak dalam beberapa gelombang. Gelombang pertama telah mencetuskan kekurangan bahan api serta lonjakan harga tenaga yang memberi kesan langsung kepada kos operasi dan logistik.

Gelombang kedua pula menyaksikan industri mula kehabisan bahan asas (feedstock) bagi sektor petrokimia yang menjadi nadi kepada pelbagai sektor pembuatan.

Hasil perbincangan mendapati kebanyakan syarikat gergasi hanya mempunyai simpanan stok bertahan selama dua bulan bermula pertengahan Mac lalu.

Berdasarkan tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada pertengahan April, situasi lebih kritikal dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilaporkan hanya mempunyai baki bekalan untuk tempoh satu hingga dua minggu sahaja.

Impak rantaian ini dijangka memaksa sebahagian kilang menghentikan operasi sementara, mengurangkan syif kerja, dan mengehadkan kerja lebih masa (overtime), yang akhirnya menjejaskan pendapatan pekerja serta pertumbuhan ekonomi negara secara berperingkat.

Mengulas mengenai pasaran tenaga global, Nurhisham menjelaskan pemulihan bekalan minyak dunia tetap mengambil masa yang lama walaupun konflik di Asia Barat berakhir dalam masa terdekat.

Hal ini berikutan faktor teknikal pengoperasian semula medan minyak serta kesesakan trafik perkapalan di laluan strategik Selat Hormuz yang memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk diselesaikan.

Proses normalisasi keseluruhan dijangka mengambil masa sekitar enam bulan, menyebabkan unjuran pemulihan bekalan minyak global hanya akan kembali stabil menjelang penghujung tahun ini atau mungkin berlanjutan sehingga 2027.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD