Melaka sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan penggunaan sistem identiti digital bagi haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau.
Menerusi sistem baharu itu, setiap haiwan ternakan akan dipasang tag khas berkod QR pada telinga yang berfungsi seperti “kad pengenalan” atau IC untuk tujuan pemantauan dan pengurusan data.
Menurut laporan Buletin TV3, sistem tersebut diperkenalkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti maklumat penting berkaitan haiwan ternakan dengan lebih cepat dan sistematik.
Antara data yang boleh diakses menerusi kod QR itu termasuk maklumat pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan haiwan terbabit.
Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri memodenkan sektor penternakan menerusi penggunaan teknologi digital.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem berkenaan juga bertujuan mengurangkan isu haiwan ternakan berkeliaran yang sering mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.
Katanya, lebih 50 aduan serta 835 kemalangan melibatkan haiwan ternakan direkodkan di Melaka sejak tahun 2023.
Jelas beliau lagi, inisiatif itu bukan bertujuan menghukum penternak, sebaliknya untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga haiwan ternakan dengan lebih baik.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut menggalakkan penternak lembu dan kerbau memanfaatkan pemasangan tag digital secara percuma yang ditawarkan sehingga hujung tahun ini.
Sistem identiti digital tersebut telah dilancarkan secara rasmi di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka dan turut diwartakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan Pihak Berkuasa Tempatan 2026.
Langkah ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri perintis dalam penggunaan sistem digital bagi pengurusan haiwan ternakan di Malaysia.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?