NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pasport Malaysia Baharu Bakal Diperkenal Mulai 1 Jun Ini

Pasport Malaysia Baharu Bakal Diperkenal Mulai 1 Jun Ini

PETALING JAYA –  Jabatan Imigresen Malaysia akan mula mengeluarkan pasport Malaysia versi baharu yang dilengkapi dengan 94 elemen keselamatan bermula 1 Jun depan, menurut Ketua Pengarah Imegresen, Zakaria Shaaban.

Beliau menjelaskan bahawa fasa awal pengeluaran ini akan melibatkan beberapa lokasi utama iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju, serta Pejabat Imigresen Shah Alam.

Pelaksanaan sepenuhnya di seluruh negara dijangka akan bermula secara berperingkat menjelang Julai depan.

“Sebelum ini, pasport kita mempunyai 49 ciri keselamatan, namun elemen keselamatan dalam versi baharu ini telah meningkat hampir dua kali ganda. Ini bertujuan menjadikan pasport kita lebih selamat dan sukar untuk dipalsukan,” lapor Bernama menurut kenyataan beliau di Putrajaya.

Zakaria berkata, penambahbaikan tersebut merangkumi penggunaan hologram yang dipertingkatkan, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi, serta pelbagai ciri anti-pemalsuan khusus yang lain.

“Malah, benang yang digunakan untuk menjilid buku pasport itu juga mempunyai ciri keselamatan tersendiri dan reka bentuk bagi setiap muka surat adalah berbeza,” katanya.

Zakaria turut menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru untuk menukar pasport mereka memandangkan pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah melebihi enam bulan masih boleh digunakan untuk urusan perjalanan dan tidak perlu diganti segera.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemohon yang melakukan urusan secara dalam talian agar menggunakan gambar asli dan bukannya imej yang telah diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Saya ingin menegaskan bahawa pemohon pasport tidak sepatutnya menggunakan foto yang dihasilkan atau diubah suai melalui AI.

“Kami telah mengesan beberapa kes di mana pemohon cuba menambah baik foto mereka, contohnya mencerahkan imej atau mencantikkan rupa paras dengan menggunakan AI,” katanya dan menambah bahawa pegawai imigresen mempunyai kepakaran khusus untuk mengesan imej janaan AI tersebut.

Sumber: Free Malaysia Today

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD