NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Thailand Pendekkan Tempoh Visa Pelancong

Thailand Pendekkan Tempoh Visa Pelancong

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah bertindak mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari lebih 90 buah negara secara mendadak sebagai usaha untuk menangani masalah jenayah yang melibatkan warga asing, menurut penjelasan pegawai pada Selasa.

Sektor pelancongan merupakan tunjang utama ekonomi bagi negara Asia Tenggara berkenaan, namun begitu jumlah kemasukan pelancong asing dilaporkan masih lagi belum mencapai tahap yang sama seperti sebelum pandemik COVID-19.

Rentetan beberapa siri tangkapan berprofil tinggi yang melibatkan warga asing baru-baru ini, termasuk kes-kes berkaitan kesalahan dadah, pemerdagangan seks, serta individu asing yang menguruskan perniagaan seperti hotel dan sekolah tanpa memiliki permit sah yang diperlukan.

Menerusi skim pelancongan sedia ada di Thailand, para pelawat dari lebih 90 buah negara termasuklah 29 negara di bawah kawasan Schengen Eropah, Amerika Syarikat (AS), Israel, serta beberapa negara di Amerika Selatan dibenarkan untuk melawat sehingga 60 hari tanpa keperluan visa.

Kabinet Thailand secara rasminya telah meluluskan cadangan pengurangan tempoh tinggal tanpa visa bagi pelancong dari negara-negara tersebut pada Selasa, jelas Menteri Pelancongan, Surasak Phancharoenworakul.

Surasak menyatakan bahawa tempoh baharu bagi kemasukan tanpa visa tersebut akan ditetapkan mengikut negara masing-masing, di mana majoriti warga asing akan dibenarkan menetap sehingga 30 hari, sementara sesetengah yang lain mungkin hanya akan diberikan tempoh selama 15 hari sahaja.

Sementara itu, jurucakap kerajaan memaklumkan bahawa para pelancong masih mempunyai peluang untuk memperbaharui visa mereka sebanyak satu kali dengan cara hadir ke pejabat imigresen.

“Tempoh 60 hari sebelum ini diberikan secara automatik tetapi pembaharuan akan ditentukan oleh pegawai dan pelancong perlu menjelaskan sebab mereka mahu tinggal lebih lama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow memaklumkan pada minggu lalu bahawa langkah mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk membanteras jenayah rentas sempadan.

Beliau turut menambah bahawa Thailand tidak memberikan tumpuan terhadap mana-mana negara secara spesifik, sebaliknya langkah ini disasarkan kepada individu yang mengambil kesempatan menyalahgunakan sistem visa untuk melakukan aktiviti jenayah di dalam negara berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Rachada Dhanadirek menjelaskan bahawa meskipun pelancong membawa manfaat besar seperti merangsang pertumbuhan ekonomi, namun skim yang sedia ada telah membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan.

Sebelum ini, tempoh bebas visa hanya dihadkan kepada 30 hari sahaja namun ia telah dilanjutkan kepada 60 hari pada Julai 2024 sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi negara.

Berdasarkan kenyataan kerajaan, Thailand mengunjurkan ketibaan kira-kira 33.5 juta orang pelancong asing pada tahun ini, menunjukkan peningkatan berbanding hampir 33 juta pelawat yang direkodkan pada tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD