NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Warga Emas Pandu Lawan Arus Di DASH Kerana Keliru Cari Jalan Keluar

Warga Emas Pandu Lawan Arus Di DASH Kerana Keliru Cari Jalan Keluar

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita warga emas memandu secara melawan arus di Kilometer 10.1 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsuddin Mamat, insiden tersebut berlaku sekitar jam 9.30 malam ketika wanita berusia sekitar 80-an itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Beliau berkata, wanita terbabit dipercayai tersalah jalan sebelum bertindak memandu melawan arus kerana cuba mencari susur keluar lebuh raya.

“Wanita itu dipercayai keliru arah ketika memandu pulang sebelum mengambil keputusan untuk berpatah balik secara melawan arus bagi mencari jalan keluar,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan atau perlanggaran dengan kenderaan lain mahupun objek di sepanjang lebuh raya tersebut.

Susulan kejadian berkenaan, polis telah menahan wanita terbabit hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.

“Polis memandang serius kesalahan lalu lintas yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Jayseelan Supaya di talian 018-2582531.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD